Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha, Puan Pengetua SMK Taman Desa Utara, Puan Zetty binti Ahmad, Yang dihormati barisan pentadbir sekolah, guuru-guru serta rakan-rakan yang saya kasihi. Berdirinya saya di hadapan kalian pada hari ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Pendidikan Berkualiti kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) : Suatu Cabaran."
Murid Berkeperluan Khas (MBK) ialah murid yang disahkan oleh pakar perubatan sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan tertentu seperti pengucapan, penglihatan, pendengaran, kemampuan fizikal dan masalah pembelajaran. Terdapat beberapa jenis masalah pembelajaran, tamsilnya autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan disleksia. Oleh itu, mereka perlu mengikuti kurikulum pendidikan khas yang berkualiti agar tidak ketinggalan dalam pelajaran dan setara dengan murid-murid aliran perdana. Namun demikian, untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada MBK, pelbagai cabaran perlulah ditempuh.
Hadirin sekalian,
Cabaran pertama ialah negara kekurangan guru terlatih dalam bidang pendidikan khas. Umum mengetahui bahawa MBK memerlukan perhatian dan pemantauan yang maksimum daripada guru-guru agar minat mereka terhadap pelajaran dapat dipupuk. Dengan demikian, hanya guru terlatih dengan pendidikan khas sahaja yang boleh menguruskan anak-anak istimewa ini sehingga mereka boleh menulis, membaca dan mengira dengan baik. Jika guru tidak mempunyai latihan khusus dalam mengurus MBK, mereka akan berhadapan dengan tekanan emosi yang melampau sehingga sanggup mengambil keputusan untuk meletak jawatan. Keadaan ini bukan sahaja memberi suasana yang tidak baik kepada MBK, malah kepada guru itu sendiri. Justeru, masalah kekurangan guru-guru yang terlatih dalam bidang pendidikan khas perlu diatasi agar pendidikan berkualiti kepada MBK dapat diberikan.
Cabaran seterusnya ialah kekurangan sumber dan kemudahan yang sesuai untuk kegunaan MBK. Kebanyakan sekolah di Malaysia khususnya sekolah-sekolah di luar bandar tidak mempunyai fasiliti yang lengkap. Contohnya, fasiliti seperti bilik darjah khusus, alat bantu mengajar, bahan pendidikan khas dan peralatan teknologi yang sesuai untuk membantu mereka belajar dengan lebih efektif. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa belajar dalam keadaan yang kurang menyokong perkembangan mereka sehingga mengganggu tumpuan untuk belajar. Jelaslah bahawa sumber dan kemudahan yang terhad menjadi cabaran dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada MBK.
Akhir sekali, tahap kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan khas kepada anak-anak berkeperluan khas masih pada tahap yang rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua ibu bapa mempunyai kesedaran atau pengetahuan yang mencukupi tentant cara-cara untuk menyokong pembelajaran anak-anak berkeperluan khas. Kekangan masa dan kewangan juga boleh menghalang ibu bapa daripada memberi perhatian yang sepenuhnya kepada pendidikan anak-anak ini. Oleh itu, tanpa sokongan yang berterusan daripada ibu bapa, cabaran untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada MBK menjadi lebih besar.
Kesimpulannya, cabaran-cabaran ini perlu diatasi dengan komitmen daripada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlulah menyediakan kursus atau latihan yang secukupnya kepada para guru yang mengajar MBK. ibu bapa pula haruslah mengambil berat akan tahap pendidikan anak-anak khusunya anak-anak yang berkeperluan khas dengan berkolaborasi dengan pihak sekolah. Implikasinya, pendidikan berkualiti untuk MBK dapat direalisasikan sekali gus memberi peluang yang setara dengan murid normal yang lain. Sampai di sini sahaja sayarahan saya. Terimalah serangkap pantun daripada saya sebagai penutup bicara.
"sawah padi hijau terbentang,
Hijau oleh si anak padi,
jika ada jodoh yang panjang,
Pasti kita berjumpa lagi."
Sekian terima kasih.






