Blogroll

Monday, June 3, 2024

SILIR DAKSINA : PERISTIWA MENJADI TELADAN

BY Eppy Sensei IN No comments


 

    Novel yang telah saya kaji dalam tingkatan 5  ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman.  Dalam novel ini terdapat beberapa peristiwa yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan kita.

     Antara peristiwanya ialah ketika Umi melihat persembahan tarian zapin oleh Haiqal dan See Hwa. Semasa persembahan, Haiqal ternampak Uminya, Walid dan adik tirinya, Nurul Aisyah sedang menyaksikan persembahannya di belakang balai kampung. Umi sebelumnya tidak merestui tindakan Haiqal untuk menghidupkan semula pejuangan ayahnya, namun Umi tetap hadir. Peristiwa ini boleh dijadikan teladan dalam kehidupan kita kerana jelas menunjukkan sikap kasih  sayang antara ahli keluarga. Walaupun tidak sekata dalam banyak perkara, kasih sayang antara ahli keluarga mengatasi segalanya.

    Selain itu, terdapat juga peristiwa seterusnya iaitu peristiwa ketabahan watak utama  Haiqal   menghadapi cabaran untuk menjejaki warisan arwah ayahnya, Abdullah bin Kayan. Haikal menaiki bas sendirian ke Johor kerana Uminya  tidak menyokong tindakannya tersebut. Umi mengugut tidak akan memberikan wang belanja kepada Haiqal jika Haiqal ke Johor. Peristiwa ini boleh menjadi teladan kerana kita hendaklah tabah dalam menghadapi cabaran hidup, di samping mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga kita.

    Peristiwa terakhir yang boleh dijadikan teladan ialah peristiwa Ong See Hwa dan Lazim membantu Haiqal Haqimi untuk menjejak warisan ayahnya, Abdullah Kayan. Ketika Haiqal di Kampung Sri Purnama,  Ong See Hwa dan Lazim telah membawa Haiqal ke balai raya lama untuk melihat hasil karya ayahnya yang tersimpan di bilik bacaan di balai raya itu. Haiqal juga dapat melihat sijil-sijil penghargaan ayahnya yang dipamerkan.  Peristiwa ini boleh dijadikan teladan  kerana dalam  kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah mengamalkan  semangat bantu-membantu tanpa mengira kaum yang mewujudkan keharmonian dalam kehidupan.

0 comments:

Post a Comment