Blogroll

Wednesday, December 6, 2023

KARANGAN CONTOH 25 : SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI - KENALI GAMBUS JOHOR (TINGKATAN 1)

BY Eppy Sensei IN , , , No comments



No.3997 SLE 4,
Lorong 2/4 Persiaran 3/4,
Jalan Hilir Bendara,
81120 Johor Bahru,
Johor Darul Takzim, Malaysia.

18 Ogos 2023


Menemui sahabatku, Mika Pratama yang berada nun jauh di Surabaya. Apa khabar saudara dan keluarga? Saya berharap saudara dan keluarga sihat belaka seperti saya sekeluarga di sini. Alhamdulillah, surat saudara yang bertarikh 28 Julai 2023 telah selamat saya terima minggu lalu. Terlebih dahulu, saya memohon maaf kerana terlambat menulis surat balasan ini. Saya terlibat dengan pertandingan tarian zapin pada hujung bulan nanti, oleh sebab itu saya sibuk dengan latihan sepanjang minggu lepas dan minggu ini.

Saudara,

    Dalam surat saudara, saudara bertanya tentang pembuatan gambus. Wah, saudara nampaknya telah bertanya kepada orang yang tepat! Datuk saya, Tuan Haji Mohd Diah merupakan pembuat gambus yang tidak asing di negeri Johor. Sejak dari kecil, saya memang selalu membantu beliau membuat gambus di bengkel kayunya. Jadi, saya akan menjelaskan langkah-langkah pembuatan gambus seperti yang saudara minta, khususnya gambus Johor.

    Untuk menghasilkan sebuah gambus yang berkualiti tinggi dan tahan lama, aspek pemilihan kayu yang baik amat penting. Kayu seperti meranti dan seraya sering digunakan kerana bermutu tinggi. Kayu-kayu ini akan dibelah untuk dijadikan kepingan bagi membina badan gambus. Sebelum badan gambus dapat dibentuk, kepingan papan perlu dilayur di atas api terlebih dahulu bagi memudahkan proses lenturannya. Dalam masa yang sama, saya selalu diberi tugas untuk membentuk kepala, leher dan telinga gambus. Datuk pula akan mengemaskan bahagian kekuda, tampuk luar dan tampuk dalam gambus. 

Saudara, 

    Pembuatan badan gambus diteruskan dengan mengikir kepingan papan sebelum disusun di atas acuan khas. Papan-papan ini akan dicantum menggunakan gam khas. Seterusnya, bahagian badan dan muka gambus akan diketam untuk memperhalus permukaannya. Proses ini juga amat penting bagi memastikan lubang muka, kerawang ukir, papan muka dan hiasan manik dapat dipasang untuk menambahkan lagi nilai estetika pada gambus. Selepas kerja kemasan dibuat, gambus akan disembur dengan pengilat untuk memastikan kualiti kayu dan pembuatannya sentiasa terjaga. 

    Akhir sekali, datuk saya akan membuat proses pemasangan tali dan uji bunyi. Tali tangsi yang biasanya digunakan untuk memancing akan dipasang pada hujung leher hingga kekuda gambus. Sama seperti gitar, tali gambus perlu diselaraskan dan diuji bunyi supaya tidak sumbang. Gambus biasanya dimainkan dalam muzik ghazal yang selalunya dipersembahkan bersama tarian zapin. Cara memainkannya hampir sama dengan cara bermain gitar, bezanya gitar hanya mempunyai 6 tali, manakala gambus mempunyai 9 hingga 12 tali.

    Nampaknya, selesai sudah penerangan saya tentang pembuatan gambus. Saya harap, penerangan saya ini sedikit sebanyak akan dapat menjawab pertanyaan saudara. Jika saudara mempunyai sebarang persoalan lagi, utuslah warkah yang seterusnya. Saya pasti akan menunggu surat balasan itu dan menjawab pertanyaan saudara. Semoga suatu hari nanti saudara dapat datang berkunjung ke Johor dan melihat sendiri proses pembuatan gambus di bengkel datuk saya. Sampai di sini dulu coretan saya, ya? Assalamualaikum.


Yang benar,

Saiful Wafiq




       





                                                            

0 comments:

Post a Comment