Lalu setelah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, baginda menyuruh untuk menghimpunkan semua rakyat teluk rantau ke Melaka. Dan Tun Perak akan membawa orang Kelang ke Melaka bersama isterinya sekali. Orang Kelang berdatang sembah kepada Sultan, "Ya tuanku, seluruh teluk rantau yang lain semuanya datang menghadap dengan orang lelaki sahaja; namum patik semua dibawa oleh Tun Perak bersama perempuan sekali."
Perihal Seri Amerta asalnya orang Pasai yang bernama tanah Samudera; oleh sebab dia cerdik, lagi petah berkata-kata, lalu dia dijadikan oleh baginda bentara, digelar oleh baginda Seri Amerta. Lalu dibuat oleh baginda sebuah bangku yang tebal, diletakkan di bawah lutut oleh baginda, di sanalah dia memikul pedang, dialah yang menyampaikan titah raja tentang sesuatu.
1) Kemudian tidak dijawab oleh Tun Perak akan kata-kata itu.
2) Seri Amerta berkata sekali lagi, namun tidak juga dijawab oleh Tun Perak.
3) Cukup tiga kali Seri Amerta berkata-kata, barulah dijawab oleh Tun Perak, katanya, "Wahai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang sebilah itu hendaklah tuan hamba peliharakan baik-baik, jangan dibiarkan berkarat, jangan dibiarkan tumpul matanya."
Namun tanggungjawab kami orang yang bekerja, bagaimanakah tuan hamba tahu? Perihalnya sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini bersama anak dan isteri serta semua kelengkapan. Lalu benarkah pada fikiran tuan hamba kami datang semuanya lelaki sahaja, dengan begini jauh dari Selat Kelang?"
Jikalau berlaku sesuatu hal di negeri ini, siapakah peduli kepada kami semua? Oleh sebab itulah semua orang Kelang ini hamba suruh bawa bersama anak dan isterinya sekali. Sudah pasti mereka akan berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hati, walaupun mereka kurang berlawan demi Duli Yang Dipertuan, mereka lebih bersungguh-sungguh berlawan demi anak isteri mereka.
Kemudian Seri Amerta mempersembahkan semua kata Tun Perak itu kepada ke bawah Duli Yang Dipertuan. Lalu baginda pun tersenyum, seterusnya bertitah, "Kata-kata Tun Perak itu benar."
Lalu baginda mengambil sirih daripada puan baginda, disuruh memberikan kepada Tun Perak. Kemudian baginda bertitah kepada Tun Perak, "Tun Perak tidak patut tinggal di Kelang lagi; lebih baik Tun Perak tinggal di negeri."
Selepas itu, orang Siam pun tiba, lalu mereka berperang dengan orang Melaka.
Selepas beberapa lama berperang, ramailah rakyat Siam yang terkorban, Melaka tidak kalah. Lalu rakyat Siam pulang, apabila mereka pulang semua rotan pengikat barang-barang dicampakkan di hulu Muar. Lalu rotan itu pun tumbuh; sebab itulah orang menamakannya rotan Siam, manakala pasungan kayu ara itu pun tumbuh juga, masih ada di hulu Muar, dan tumang Siam tempat bertanak itu pun tumbuh juga, masih ada hingga sekarang.
Setelah rakyat Siam pulang, semua orang teluk rantau kembali ke tempat masing-masing. Namun, baginda tidak membenarkan Tun Perak pulang lagi ke Kelang; tinggal di Melaka, baginda menjadikannya bentara.
Kemudian ada seorang orang Kelang mengatakan bahawa dia teraniaya oleh Tun Perak sedikit.
Lalu dia berdatang sembah ke bawah duli baginda. Kemudian baginda bertitah kepada bentara Seri Amerta menyuruhnya memberitahu Tun Perak. Lalu Tun Perak pun datang menghadap. Seri Amerta pun berkata kepada Tun Perak, "Orang ini, ya Tuan Tun Perak, telah mengadu halnya kepada ke bawah Duli Yang Dipertuan, mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak. Mengapakah tuan hamba bersikap demikian?"
0 comments:
Post a Comment