Blogroll

Monday, July 20, 2020

MENULIS RUMUSAN KARANGAN BAHASA MELAYU PT3

BY Eppy Sensei IN 3 comments



Selain ulasan dan ringkasan, calon PT3 perlu juga mahir menulis karangan rumusan. Walaupun secara amnya rumusan karangan hampir sama dengan ringkasan karangan, namun teknik menulis dan cara menjawab tugasan ini adalah tidak sama. Secara ringkasnya, teknik menulis rumusan boleh dirujuk seperti nota berikutnya.

TEKNIK

  1. Panjang rumusan adalah tidak melebihi 100 patah perkataan dan ditulis dalam satu perenggan sahaja.
  2. Pelajar digalakkan supaya menulis dan menggunakan ayat sendiri (menulis semula ayat yang dibaca mengikut kefahaman sendiri) tanpa mengubah maksud asal petikan.
  3. Pelajar perlu mengambil isi daripada petikan yang dibaca sahaja, namun tidak boleh menyalin semula secara bulat-bulat daripada petikan.
  4. Pelajar perlu mengenal pasti Idea Sokongan / Idea Sampingan serta membuang huraian, contoh, peribahasa dan lain-lain agar jawapan yang ditulis tidak terlalu panjang.

PEMARKAHAN

ISI

BILANGAN ISI

MARKAH

Idea Utama

1

2

Idea Sampingan

6

6

Kesimpulan

1

2

Bahasa

-

5



PERBEZAAN RUMUSAN DAN RINGKASAN

RUMUSAN

 

RINGKASAN

Kehendak tugasan perlu dicari sendiri berdasarkan petikan.

Kehendak soalan dinyatakan dalam soalan

Kesimpulan wajib ditulis

Kesimpulan tidak wajib - bergantung kepada jumlah patah perkataan

Mengandungi 1 idea utama dan 6 idea sokongan

Mengandungi 5 isi penting

Ditulis dalam ayat sendiri, tidak boleh salin petikan bulat-bulat

Ditulis berdasarkan petikan, boleh salin ayat daripada petikan

Pendahuluan:

 

   Petikan mengisahkan….

 

Pendahuluan :

 

Antara….  /  Atau boleh menulis satu ayat ringkas daripada petikan.

 



FORMAT

       Petikan membincangkan (idea utama). Antaranya ialah / adalah (idea sampingan 1). Selain itu, (idea sampingan 2). Seterusnya, (idea sampingan 3). Di samping itu, (idea sampingan 4). Tambahan pula, (idea sampingan 5). Akhir sekali, (idea sampingan 6). Kesimpulannya, (tulis kesimpulan ringkas tentang IU dan IS) supaya / agar / untuk (penjelasan / harapan).


CONTOH (BKM/S 120)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang panjangnya hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan untuk menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. 

Laporan statistik tentang penyakit mental sangat membimbangkan kerana jumlah ini terus meningkat dari  semasa ke semasa. Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan tentang bahava penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan atau merawat penyakit ini secara tradisional sahaja. Peningkatan penyakit mental disebabkan oleh tekanan hidup yang semakin mencabar, terutamanya di kawasan bandar besar.

Banyak terdapat faktor yang menyumbang kepada masalah psikososial ini di tempat kerja yang dapat mengakibatkan tekanan, kemurungan, dan keletihan melampau. Bebanan kerjá yang banyak serta perlu disiapkan dalam masa yang singkat menimbulkan masalah kesihatan. Selain itu, kélemahan pengurusan organisasi menyebabkan prestasi kerja merosot. Desakan peningkatan kompetensi ini akan menimbulkan ketegangan. Hubungan dengan rakan sekerja yang kurang erat, tiada kesantunan, dan hilang sikap saling membantu menjadikan anggota dalam sesebuah organisasi berada dalam konflik.

Di samping itu, situasi di tempat kerja yang dapat menyumbang kepada masalah mental adalah kurangnya sokongan daripada pihak atasan. Lebih buruk lagi apabila pihak majikan dan pengurusan menafikan hak pekerja untuk mendapatkan layanan yang baik dan sikap perikemanusiaan. Tidak dinafikan juga terdapat penderaan fizikal, psikologi, dan seksual di sesuatu tempat kerja. Sesuatu konflik timbul disebabkan oleh kelemahan komunikasi antara majikan dengan pekerja atau sesama pekerja itu sendiri.

Masalah kemurungan juga merupakan punca utama kepada penyakit mental. Kebelakangan ini, media banyak melaporkan kes mencederakan diri dan bunuh diri. Kemurungan kronik akibat tekanan hidup menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan amat memudaratkan jika tidak dirawat dengan segera. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menangani masalah yang menyumbang kepada penyakit mental ini agar tidak berlarutan. Majikan perlu merangka pelan bagi mengurangkan tekanan dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang sihat.


CONTOH JAWAPAN RUMUSAN

Petikan membincangkan punca-punca penyakit mental. Antara puncanya ialah tekanan hidup yang semakin mencabar. Selain itu, pekerja sering terbeban menyiapkan kerja yang banyak dalam tempoh yang singkat. Seterusnya, kegagalan pengurusan organisasi memberi impak kepada kemerosotan prestasi kerja. Di samping itu, hubungan yang renggang antara pekerja, tiada kesantunan dan hilang sikap saling membantu mewujudan konflik dalam kalangan anggota organisasi. Seterusnya, penyakit mental juga terjadi apabila pekerja kurang mendapat sokongan daripada majikan. Akhir sekali,dinafikan hak untuk mendapat layanan yang baik serta sikap perikemanusiaan turut menyumbang kepada berlakunya penyakit mental. Kesimpulannya, usaha yang signifikan perlu dilakukan supaya peningkatan penyakit mental ini dapat dibendung.

                                                                                (94 patah perkataan)

3 comments: