Kraf tangan merupakan salah satu keindahan budaya yang menjadi lambang sesuatu bangsa dan perlu dikekalkan sampai bila-bila. Selain penting dari sudut sejarah, industri kraf tangan juga memainkan peranan penting dalam sektor ekonomi setempat. Terdapat beberapa langkah untuk melestarikan industri kraf tangan kita.
Pertama, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka tentang kebudayaan dan kesenian keluarga mereka, terutamanya kraf tangan. Bak kain putih dan ibu bapalah yang berperanan mencorakkannya, anak-anak tidak akan tahu identiti dan budaya sendiri jika tidak diajar oleh ibu bapa. Ibu bapa boleh mendidik anak-anak tentang jenis kraf tangan yang ada dengan membawa anak-anak melawat ke pasar seni atau pusat kraf tangan. Impaknya, anak-anak akan belajar mengenali dan menghargai kraf tangan tempatan, sekali gus menjamin kelestarian industri tersebut.
Selain itu, pihak sekolah boleh mengembangkan bakat murid-murid dengan menganjurkan pertandingan membuat kraf tangan atau bengkel menghasilkan barang kraf peringkat sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti yang dianjurkan melalui unit kokurikulum di sekolah akan mampu menarik minat murid-murid kepada barangan kraf tangan. Sebagai contoh, panitia Pendidikan Seni Visual boleh mengadakan pertandingan anyaman tikar dan bakul seperti yang terdapat dalam silibus subjek berkenaan. Langkah ini amat bernas kerana generasi muda merupakan orang yang akan meneruskan tradisi kraf tangan kelak.
Di samping itu, pihak kerajaan sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam usaha memajukan industri kraf tangan. Dengan sumber yang banyak dan kepakaran yang ada, kerajaan boleh menubuhkan lebih banyak pusat kraf tangan di seluruh negara. Hal ini akan memberi peluang kepada pengusaha kraf tangan untuk mempamerkan dan memasarkan hasil tangan mereka. Rakyat boleh memanfaatkan pusat kraf tangan sebagai hab untuk belajar membuat, mempamerkan hasil kerja dan melakukan aktiviti jualan.
Akhir sekali, pihak kerajaan boleh menyediakan peruntukan atau dana untuk menyokong industri kraf tangan. Bantuan dari segi kepakaran dan kreativiti akan menggalakkan inovasi produk akan berlaku. Untuk kekal bertahan, kraf tangan perlulah bergerak seiring dengan peredaran zaman supaya fungsi dan reka bentuknya kekal relavan kepada masyarakat. Inovasi juga akan menggalakkan persaingan dalam kalangan pengeluar barang kraf tangan. Kesannya, industri kraf tangan akan mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan produk-produk moden dalam pasaran.
Kesimpulannya, semua pihak memikul peranan masing-masing dalam usaha memajukan industri kraf tangan. Oleh itu, kraf tangan perlulah dipertahankan dan perlu kekal menjadi warisan supaya sempat dinikmati oleh generasi seterusnya.
0 comments:
Post a Comment