Novel yang telah saya kaji dalam tingkatan 5 ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman. Dalam novel ini terdapat beberapa peristiwa yang menarik perhatian saya.
Antara peristiwa yang menarik dalam novel ini ialah peristiwa ketika Umi melihat persembahan tarian zapin oleh Haiqal dan See Hwa. Semasa persembahan, Haiqal ternampak Uminya, Walid dan adik tirinya, Nurul Aisyah sedang menyaksikan persembahannya di belakang balai kampung. Umi sebelumnya tidak merestui tindakan Haiqal untuk menghidupkan semula pejuangan ayahnya, namun Umi tetap hadir. Peristiwa ini menarik kerana jelas menunjukkan sikap kasih sayang dalam ahli keluarga. Walaupun tidak sekata dalam banyak perkara, kasih sayang antara ahli keluarga mengatasi segalanya.
Selain itu, terdapat juga peristiwa menarik yang seterusnya iaitu peristiwa ketabahan watak utama Haiqal menghadapi cabaran untuk menjejaki warisan arwah ayahnya, Abdullah bin Kayan. Haikal menaiki bas sendirian ke Johor kerana Uminya tidak menyokong tindakannya tersebut. Umi mengugut tidak akan memberikan wang belanja kepada Haiqal jika Haiqal ke Johor. Peristiwa ini menarik kerana memaparkan ketabahan dalam menghadapi cabaran dan kasih sayang seorang remaja untuk mengetahui kisah hidup arwah ayah kandungnya.
Peristiwa menarik yang terakhir ialah peristiwa Ong See Hwa dan Lazim membantu Haiqal Haqimi untuk menjejak warisan ayahnya, Abdullah Kayan. Ketika Haiqal di Kampung Sri Purnama, Ong See Hwa dan Lazim telah membawa Haiqal ke balai raya lama untuk melihat hasil karya ayahnya yang tersimpan di bilik bacaan di balai raya itu. Haiqal juga dapat melihat sijil-sijil penghargaan ayahnya yang dipamerkan. Peristiwa ini menarik kerana ketiga-tiga watak ini memaparkan semangat bantu-membantu tanpa mengira kaum yang mewujudkan keharmonian dalam kehidupan.
0 comments:
Post a Comment