Buli dalam kalangan murid sekolah merupakan isu yang semakin membimbangkan di negara kita. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 4994 kes buli telah direkodkan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dari Januari hingga Oktober 2023. Buli boleh difahami sebagai perbuatan menyakiti, menindas atau memperlekehkan seseorang sama ada secara fizikal, lisan, emosi atau melalui siber. Hal ini memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada mangsa, bahkan kepada pelaku dan masyarakat secara keseluruhannya. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami kesan-kesan buli terhadap murid agar langkah pencegahan dapat dirangka secara tuntas dan diambil segera.
Sebagai isi yang perdana, buli akan mengganggu emosi mangsa sehingga menyebabkan tekanan perasaan dan kemurungan. Mangsa buli sering berasa takut, tertekan dan hilang keyakinan diri apabila berhadapan dengan pelaku. Hal ini dikatakan demikian kerana mangsa sentiasa dihantui rasa cemas, rendah diri dan rasa tidak selamat dalam persekitaran sekolah. Sebagai contoh, mangsa cenderung mengalami kemurungan, tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan dan ada yang sampai ke tahap mencederakan diri sendiri atau cuba membunuh diri. Keadaan ini amat membimbangkan kerana kesihatan mental mangsa akan terjejas, di samping memberi kesan secara langsung kepada kualiti hidup dan kesejahteraan mereka. Jelaslah, semua pihak perlu campur tangan untuk membantu murid yang menjadi mangsa buli agar mereka tidak terus terperangkap dalam ketakutan dan tekanan emosi.
Selain itu, perbuatan buli juga akan menjejaskan pencapaian akademik murid yang menjadi mangsanya. Hal ini berlaku diakibatkan oleh murid yang menjadi mangsa biasanya akan hilang minat untuk hadir ke sekolah kerana bimbang akan menjadi sasaran pelaku buli. Jika hadir ke sekolah sekalipun, mereka tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas kerana sentiasa berada dalam ketakutan. Perkara ini terbukti apabila murid mula ponteng sekolah atau menunjukkan penurunan dalam pencapaian akademik yang sudah jelas terang akan mempengaruhi masa depan mereka. Murid yang tertekan juga sukar berfikir dengan baik dan menyebabkan prestasi mereka merosot dalam peperiksaan. Tidak dapat disangkal lagi, hal ini akan menyebabkan murid ketinggalan dalam pelajarannya.
Di samping itu, masalah sosial dalam kalangan murid akan berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sekolah yang dicemari dengan budaya buli akan mewujudkan suasana yang tidak selamat buat murid-murid. Slogan "Sekolahku, Rumahku, Syurgaku" akan menjadi sekadar retorik yang tidak langsung menggambarkan realiti sebenar. Buktinya, murid akan hilang rasa hormat antara satu sama lain lantaran nilai-nilai murni seperti kasih sayang telah terhakis. Dalam jangka masa panjang, budaya buli yang tidak dibendung akan melahirkan generasi yang ganas, tidak bertimbang rasa dan sukar bekerjasama dalam masyarakat. Natijahnya, hal ini pasti akan menjejaskan keharmonian. Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menghindari kebobrokan sikap dalam kalangan murid.
Sebelum nasi menjadi bubur, isu buli perlu dipandang serius kerana memberikan pelbagai kesan buruk kepada murid. Semua pihak haruslah bergerak sederap selangkah untuk membanteras gejala buli dengan menguatkuasakan pelbagai prakarsa efektif. Jika usaha ini dilaksanakan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam, sudah pasti keselamatan murid-murid di sekolah akan lebih terjamin, selain sekolah akan dapat mengembalikan statusnya sebagai institusi ilmu yang dihormati.
0 comments:
Post a Comment