Blogroll

Thursday, September 11, 2025

KARANGAN CONTOH 32 : KEPENTINGAN-KEPENTINGAN SUNGAI DI NEGARA KITA

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

FORMAT KARANGAN BAHAGIAN A (KERTAS 1)

Cadangan jawapan :

       Sungai merupakan salah satu sumber semula jadi yang sangat penting kepada kehidupan manusia sejak zaman dahulu. Namun begitu, kerakusan manusia telah menyebabkan kejadian mengejutkan seperti tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berlaku. Hal ini telah membuka mata pelbagai pihak tentang peri pentingnya sungai kepada kehidupan kita.

    Sebagai pembuka bicara, sungai memainkan peranan sebagai salah satu mod pengangkutan alternatif yang masih digunakan oleh masyarakat di pedalaman dan di kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat. Sebagai contoh, Sungai Rajang di Sarawak telah lama menjadi laluan pengangkutan bagi masyarakat di Sibu, Kapit dan Belaga. Bot ekspres dan perahu panjang digunakan untuk membawa hasil hutan, barangan keperluan harian dan juga penumpang. Jelaslah, sungai memainkan peranan penting sebagai sistem pengangkutan air. 

      Selain itu, sungai juga penting bagi menyokong sektor pertanian, khususnya untuk mengairi kawasan sawah dan ladang. Di negara kita, kawasan sawah bergantung secara terus kepada tali air dari sumber air sungai untuk tujuan pengairan. Tanpa air sungai, hasil komoditi utama negara seperti padi dan kelapa sawit akan terjejas kerana sungai membantu menyuburkan tanah, selain airnya mengandungi nutrien semula jadi yang penting untuk pertumbuhan tanaman. Sudah terang lagi bersuluh, sungai amat penting sebagai pemangkin sektor pertanian negara. 

        Kesimpulannya, kepentingan sungai dalam sektor pengangkutan dan pertanian jelas menunjukkan bahawa sungai bukan sahaja milik alam, tetapi milik kita semua. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab menjaga dan melestarikan sungai demi kesejahteraan generasi akan datang.

                                                                                                                 (205 patah perkataan)


0 comments:

Post a Comment