Blogroll

Friday, August 28, 2026

INTERNET BENDA (Internet of Things - IoT) DALAM KEHIDUPAN PELAJAR

BY Eppy Sensei IN , , , , No comments

 

Internet Benda (Internet of Things atau IoT) merujuk kepada rangkaian peranti fizikal yang disambungkan ke internet untuk mengumpul, berkongsi, dan bertukar-tukar data secara automatik tanpa memerlukan interaksi manusia ke manusia atau manusia ke komputer. 

Etika menggunakan Internet Benda (Internet of Things - IoT) merujuk kepada prinsip moral dan tanggungjawab bagi memastikan peranti pintar seperti televisyen pintar, jam tangan kecergasan, dan kamera keselamatan digunakan dengan selamat, menghormati hak orang lain, serta tidak membawa mudarat. Memandangkan peranti IoT sentiasa mengumpul, memproses dan menghantar data secara automatik, penggunaannya memerlukan kesedaran etika yang tinggi.

Penggunaan Internet Benda (IoT) dalam kehidupan pelajar membawa impak besar yang bertindak seperti pisau dua mata serta menawarkan kecekapan belajar yang tinggi, namun dalam masa yang sama boleh menjejaskan fokus dan privasi pelajar. 


Kebaikan (Kelebihan)

Pembelajaran Lebih Pintar
: Jam tangan pintar dan tablet membolehkan nota, jadual waktu, dan aplikasi pendidikan diselarikan secara automatik untuk akses pantas.

Pengurusan Masa Optimum
: Penggera pintar dan pembantu suara (seperti Google Assistant atau Alexa) membantu pelajar menetapkan peringatan tugasan dan mengurus jadual harian dengan cekap.

Keselamatan Kampus/Asrama
: Sistem kunci pintar (smart lock) dan kamera keselamatan IoT memastikan bilik asrama serta barangan berharga pelajar lebih selamat daripada kecurian.

Penjimatan & Keselesaan
: Lampu dan kipas pintar di bilik belajar boleh dilaraskan secara automatik untuk keselesaan optimum serta menjimatkan elektrik apabila pelajar keluar.

Pemantauan Kesihatan
: Penjejak kecergasan (fitness tracker) membantu pelajar memantau tahap stres, degupan jantung, dan kualiti tidur semasa musim peperiksaan.


Keburukan (Kelemahan)

Gangguan Fokus (Distraction): Notifikasi yang masuk secara berterusan daripada peranti pintar boleh mengganggu tumpuan semasa mengulang kaji pelajaran.

Isu Kesihatan Digital:
Penggunaan peranti pintar yang terlalu kerap di dalam bilik tidur boleh mengganggu corak tidur (insomnia) dan mengurangkan aktiviti fizikal.

Kebocoran Data Peribadi:
Peranti yang sentiasa bersambung ke Wi-Fi awam kampus berisiko digodam, mendedahkan lokasi dan maklumat peribadi pelajar.

Kos Sara Hidup Meningkat
: Kos untuk membeli peranti IoT, menyelenggara gajet, dan membayar pelan internet berkelajuan tinggi adalah sangat membebankan bagi seorang pelajar.

Kebergantungan Melampau: Jika talian internet kampus terputus atau peranti kehabisan bateri, pelajar mungkin hilang punca untuk mengakses nota atau menguruskan rutin harian.


Langkah-langkah pengawalan yang bijak

Peranan ibu bapa dan pihak sekolah adalah sangat kritikal sebagai benteng pertahanan utama bagi memastikan pelajar menggunakan teknologi Internet Benda (IoT) secara seimbang, selamat, dan bertanggungjawab. Kedua-dua pihak perlu bekerjasama untuk mendidik, memantau, dan menyediakan persekitaran digital yang sihat. Bukan itu sahaja, penyelesaian untuk mengimbangi penggunaan IoT dalam kalangan pelajar turut berpusat kepada kesedaran kendiri, disiplin digital, dan pengurusan keselamatan peranti bagi memastikan teknologi ini membantu pembelajaran tanpa memudaratkan diri.

1.    Mengurus Gangguan Fokus dan Kesihatan

Aktifkan Mod Belajar (Focus Mode): Tetapkan peranti pintar seperti jam tangan atau tablet ke mod "Jangan Ganggu" (Do Not Disturb) semasa waktu kuliah atau ulang kaji untuk menyekat notifikasi media sosial.

Zon Bebas Teknologi: Jadikan kawasan katil atau bilik tidur sebagai zon bebas peranti pintar sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur untuk memastikan kualiti tidur yang lebih baik.


2.    Menjaga Keselamatan dan Privasi Data

Gunakan VPN pada Wi-Fi Kampus
: Sentiasa gunakan rangkaian peribadi maya (VPN) apabila menyambungkan peranti IoT anda ke Wi-Fi awam kampus untuk mengelakkan data peribadi daripada dipintas oleh penggodam

Asingkan Rangkaian Wi-Fi: Jika menggunakan router sendiri di rumah sewa atau asrama, wujudkan rangkaian tetamu (Guest Network) khas untuk peranti IoT (seperti lampu atau pembantu suara) bagi mengelakkan peranti utama (laptop/telefon) terdedah jika peranti IoT digodam


3.    
 Mengawal Kos dan Kebergantungan

Pilih Peranti Mengikut Keperluan: Elakkan membeli gajet IoT sekadar mengikut trend. Fokus hanya kepada peranti yang benar-benar membantu akademik, seperti tablet untuk nota digital.

Sediakan Pelan Sandaran (Backup Plan): Sentiasa simpan salinan nota penting secara luar talian (offline) atau cetak nota tersebut supaya sesi pembelajaran tidak terganggu sekiranya talian internet terputus.


4.    Peranan Ibu Bapa (Di Rumah)

Menetapkan Had Masa dan Sempadan Digital: Ibu bapa perlu menguatkuasakan peraturan penggunaan gajet, seperti menutup peranti IoT atau menyekat akses internet rumah selepas jam 10 malam bagi memastikan remaja mendapat tidur yang cukup.

Menggunakan Aplikasi Kawalan Ibu Bapa (Parental Control): Manfaatkan perisian kawalan untuk memantau aktiviti digital anak-anak, menapis kandungan yang tidak bersesuaian, dan mengesan lokasi mereka melalui penjejak pintar (seperti jam tangan pintar kanak-kanak)

Menerapkan Kesedaran Keselamatan Siber: Mendidik anak-anak tentang kepentingan menjaga privasi, seperti tidak berkongsi kata laluan peranti IoT rumah kepada rakan dan tidak sebarangan menyambung peranti ke Wi-Fi awam tanpa perlindungan

Menjadi Teladan yang Baik (Role Model): Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan amalan disiplin digital yang tinggi, seperti tidak menghadap peranti pintar semasa waktu makan keluarga atau semasa meluangkan masa bersama anak-anak


5.    
Peranan Pihak Sekolah

Mengintegrasikan Literasi Digital dalam Kurikulum: Menyerapkan topik keselamatan siber, etika IoT, dan pengurusan masa digital dalam subjek sedia ada (seperti Asas Sains Komputer atau Pendidikan Moral/Islam)

Menyediakan Infrastruktur Rangkaian yang Selamat: Pihak sekolah atau kampus wajib menyelenggara rangkaian Wi-Fi akademik dengan sistem keselamatan yang ketat (seperti firewall dan sekatan laman web tertentu) bagi melindungi peranti IoT pelajar daripada serangan siber

Mewujudkan Polisi Penggunaan Peranti yang Jelas: Menetapkan garis panduan tentang bila dan di mana peranti pintar boleh digunakan di dalam kawasan sekolah (contohnya: hanya untuk tujuan pembelajaran di dalam kelas dengan kebenaran guru).

Menganjurkan Kempen Kesedaran dan Kaunseling: Mengadakan seminar berkala mengenai "Kesejahteraan Digital" (Digital Well-being) dan menyediakan sokongan kaunseling bagi pelajar yang menunjukkan tanda-tanda ketagihan gajet atau menjadi mangsa buli siber/pencerobohan privasi



Wednesday, August 26, 2026

PELAKSANAAN IMK DAN IKP TINGKATAN 3 TAHUN 2026

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


Klik butang di bawah untuk memulakan ujian.








Wednesday, August 19, 2026

AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS) : KE ARAH MALAYSIA LEBIH SIHAT

BY Eppy Sensei IN No comments



      Pada tahun 2026, Malaysia melaksanakan pelbagai kempen kesihatan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuklah Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia (MYMT2026) untuk memperkukuh hab perubatan, Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), serta Kempen 6020 dan inisiatif Kembara Senyuman. 

    Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) ialah inisiatif kerajaan merentasi kementerian bagi meningkatkan taraf kesihatan serta kualiti hidup rakyat Malaysia melalui pembudayaan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran. ANMS juga merupakan satu jajaran dasar dan strategi jangka panjang Kerajaan Malaysia (2021–2030) yang dirangka secara komprehensif bagi mengalih tumpuan sistem kesihatan negara daripada pencarian rawatan (sick care) kepada pencegahan dan penjagaan kesihatan (health care). Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang bukan sahaja bebas daripada penyakit, malah aktif, berdaya tahan, dan mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.

1. Mengapa ANMS Diwujudkan?
ANMS diperkenalkan bagi menangani beberapa cabaran utama kesihatan awam negara:

✓Peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD): Kadar obesiti, kencing manis (diabetes), tekanan darah tinggi, dan penyakit jantung yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
✓Kos Rawatan yang Tinggi: Meringankan beban kewangan sektor kesihatan awam dengan mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital melalui langkah pencegahan awal.
✓Perubahan Gaya Hidup Moden: Kurangnya aktiviti fizikal, pemakanan tidak seimbang, serta isu kesihatan mental yang kian meruncing.

2. Empat Teras Utama ANMS
Laksana sebuah pelan strategik, ANMS digerakkan menerusi 4 Teras Utama:


3. Pendekatan Merentasi Kementerian (Whole of Nation)
ANMS bukan sahaja digalas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah menggunakan pendekatan "Keseluruhan Kerajaan" (Whole of Government) dan "Keseluruhan Masyarakat" (Whole of Society):

✓Kementerian Pendidikan (KPM): Menerapkan amalan pemakanan sihat di kantin sekolah dan aktiviti sukan.
✓Kementerian Belia dan Sukan (KBS): Menyediakan fasiliti dan program sukan massa.
✓Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT): Menyediakan taman awam dan persekitaran perumahan yang selamat untuk beriadah.
✓Pihak Swasta & NGO: Menyokong program kesihatan di tempat kerja (Workplace Wellness) serta penajaan aktiviti kemasyarakatan.

4. Keberhasilan yang Jangkaan (Outcome)
Kesan Jangka Panjang ANMS:

✓Peningkatan jangka hayat dan kualiti hidup rakyat.
✓Penurunan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit NCD.
✓Pemerkasaan komuniti agar lebih cakna dan berpengetahuan dalam mengurus kesihatan kendiri (literasi kesihatan).



Friday, August 7, 2026

KARANGAN CONTOH 37 : CARA-CARA UNTUK MEMBUDAYAKAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


    Kesihatan merupakan anugerah tuhan kepada manusia sebagai tulang belakang kesejahteraan sejagat. Tidak hairanlah, amalan gaya hidup sihat sepatutnya menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian. Ironinya, realiti kini memperlihatkan peningkatan drastik penyakit kronik tiga serangkai seperti kolesterol tinggi, diabetes dan hipertensi gara-gara gaya hidup sedentari, selain tabiat pemakanan yang asal boleh. Dampak negatifnya, kualiti kesihatan masyarakat semakin merudum, sekali gus menjejeaskan produktiviti negara. Maka, pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat secara kolektif.

    Sebagai idea yang perdana, melakukan aktiviti riadah atau bersenam amat disarankan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti fizikal seperti senaman membantu melancarkan peredaran darah, di samping mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik. Sebagai contoh, aktiviti riadah seperti berjoging di taman pada waktu pagi, berbasikal di sekitar kawasan perumahan dan menyertai kelas aerobik secara berkala boleh mempengaruhi kesihatan tubuh. Melalui aktiviti ini, badan akan menjadi lebih cergas, minda lebih cerdas dan emosi akan lebih stabil kerana lemak-lemak jahat akan terbakar. Peluh yang dirembeskan juga akan mengeluarkan toksin dari tubuh. Oleh itu, amalan bersenam wajar dijadikan rutin harian agar kehidupan yang berkualiti akan dapat dinikmati.

    Selain itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting bagi memastikan kesihatan tubuh sentiasa dalam keadaan baik. Dalam konteks ini, pemeriksaan awal dapat mengesan penyakit sebelum menjadi lebih serius, sekali gus dapat meningkatkan akses kepada rawatan yang berkesan. Misalnya, individu boleh membuat pemeriksaan tekanan darah, kadar kolesterol dan tahap gula dalam darah sekurang-kurangnya enam bulan sekali di fasiliti kesihatan. Langkah ini amat signifikan bagi mengenal pasti potensi penyakit supaya dapat dicegah sebelum terlambat. Hal ini bertepatan dengan prisip kesihatan sejagat, bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati kerana pemeriksaan kesihatan dapat menjadi benteng utama penjagaan kesihatan. Jelaslah, pemeriksaan kesihatan ada baiknya dijadikan rutin agar kesihatan diri terus terpantau.

    Dari sudut pandangan yang lain pula, pengambilan makanan yang seimbang amat penting untuk memastikan tubuh mendapat nutrien yang diperlukan. Dengan mengamalkan pemakanan seimbang, tubuh akan mendapat bekalan tenaga, menguatkan sistem imun dan risiko menghidap penyakit kronik akan dapat dikurangkan. Tamsilnya, seseorang boleh mengamalkan panduan Pinggan Sihat Malaysia dengan mengikut konsep suku-suku separuh apabila mengambil makanan. Hidangan mengikut konsep ini boleh dipenuhi dengan cara mengambil karbohidrat daripada nasi, protein pula daripada ikan atau ayam, manakala vitamin boleh didapati dengan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan. Implikasi baiknya, berat badan yang ideal serta  kecergasan fizikal dan mental dapat dicapai. Bak kata pujangga, "anda ialah apa yang anda makan", pengambilan makanan yang berkhasiat sebagai amalan hidup mencerminkan tahap kesihatan yang baik.

    Sudah terang lagikan bersuluh, amalan gaya hidup yang sihat seyogianya menjadi keutamaan masyarakat. Semua pihak haruslah mengambil cakna tentang tahap kesihatan dan menjadikan gaya hidup sihat sebagai pilihan. Hal ini amat penting bagi memastikan kualiti kehidupan masyarakat terus unggul dan bebas daripada penyakit agar Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dapat dijadikan kenyataan.

    

Monday, March 9, 2026

KARANGAN CONTOH 36 : SYARAHAN - CABARAN PENDIDIKAN BERKUALITI KEPADA MURID BERKEPERLUAN KHAS (MBK)

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

     


    Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha, Puan Pengetua SMK Taman Desa Utara, Puan Zetty binti Ahmad, Yang dihormati barisan pentadbir sekolah, guuru-guru serta rakan-rakan yang saya kasihi. Berdirinya saya di hadapan kalian pada hari ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Pendidikan Berkualiti kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) : Suatu Cabaran."

    Murid Berkeperluan Khas (MBK) ialah murid yang disahkan oleh pakar perubatan sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan tertentu seperti pengucapan, penglihatan, pendengaran, kemampuan fizikal dan masalah pembelajaran. Terdapat beberapa jenis masalah pembelajaran, tamsilnya autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan disleksia. Oleh itu, mereka perlu mengikuti kurikulum pendidikan khas yang berkualiti agar tidak ketinggalan dalam pelajaran dan setara dengan murid-murid aliran perdana. Namun demikian, untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada MBK, pelbagai cabaran perlulah ditempuh.

Hadirin sekalian, 

    Cabaran pertama ialah negara kekurangan guru terlatih dalam bidang pendidikan khas. Umum mengetahui bahawa MBK memerlukan perhatian dan pemantauan yang maksimum daripada guru-guru agar minat mereka terhadap pelajaran dapat dipupuk. Dengan demikian, hanya guru terlatih dengan pendidikan khas sahaja yang boleh menguruskan anak-anak istimewa ini sehingga mereka boleh menulis, membaca dan mengira dengan baik. Jika guru tidak mempunyai latihan khusus dalam mengurus MBK, mereka akan berhadapan dengan tekanan emosi yang melampau sehingga sanggup mengambil keputusan untuk meletak jawatan. Keadaan ini bukan sahaja memberi suasana yang tidak baik kepada MBK, malah kepada guru itu sendiri. Justeru, masalah kekurangan guru-guru yang terlatih dalam bidang pendidikan khas perlu diatasi agar pendidikan berkualiti kepada MBK dapat diberikan.

    Cabaran seterusnya ialah kekurangan sumber dan kemudahan yang sesuai untuk kegunaan MBK. Kebanyakan sekolah di Malaysia khususnya sekolah-sekolah di luar bandar tidak mempunyai fasiliti yang lengkap. Contohnya, fasiliti seperti bilik darjah khusus, alat bantu mengajar, bahan pendidikan khas dan peralatan teknologi yang sesuai untuk membantu mereka belajar dengan lebih efektif. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa belajar dalam keadaan yang kurang menyokong perkembangan mereka sehingga mengganggu tumpuan untuk belajar. Jelaslah bahawa sumber dan kemudahan yang terhad menjadi cabaran dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada MBK.

    Akhir sekali, tahap kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan khas kepada anak-anak berkeperluan khas masih pada tahap yang rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua ibu bapa mempunyai kesedaran atau pengetahuan yang mencukupi tentant cara-cara untuk menyokong pembelajaran anak-anak berkeperluan khas. Kekangan masa dan kewangan juga boleh menghalang ibu bapa daripada memberi perhatian yang sepenuhnya kepada pendidikan anak-anak ini. Oleh itu, tanpa sokongan yang berterusan daripada ibu bapa, cabaran untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada MBK menjadi lebih besar.

    Kesimpulannya, cabaran-cabaran ini perlu diatasi dengan komitmen daripada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlulah menyediakan kursus atau latihan yang secukupnya kepada para guru yang mengajar MBK. ibu bapa pula haruslah mengambil berat akan tahap pendidikan anak-anak khusunya anak-anak yang berkeperluan khas dengan berkolaborasi dengan pihak sekolah. Implikasinya, pendidikan berkualiti untuk MBK dapat direalisasikan sekali gus memberi peluang yang setara dengan murid normal yang lain. Sampai di sini sahaja sayarahan saya. Terimalah serangkap pantun daripada saya sebagai penutup bicara.

        "sawah padi hijau terbentang,
         Hijau oleh si anak padi,
         jika ada jodoh yang panjang,
         Pasti kita berjumpa lagi."

Sekian terima kasih.

Monday, October 6, 2025

SPM NOVEL : PERISTIWA TUNJUK PERLU BERUSAHA GIGIH MELAKUKAN SESUATU DALAM DI SEBALIK DINARA DAN SILIR DAKSINA

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


    Novel yang saya pelajari ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor dan novel Silir Daksina karya Nizar Parman

    Peritiwa yang menunjukkan perlunya berusaha dengan gigih dalam melakukan sesuatu perkara dalam novel Di Sebalik Dinara ialah peristiwa Azraai memasang "retinal scanner" dan interkom pada pintu rumah adik angkatnya, Farisha untuk melindungi keselamatannya setelah berlaku kes pembunuhan di kawasan tempat tinggalnya tersebut. Peristiwa ini menunjukkan perlunya berusaha dengan gigih dalam menjalankan amanah / tanggungjawab untuk melindungi keselamatan orang yang tersayang.

    Peristiwa yang menunjukkan perlunya berusaha dengan gigih dalam melakukan sesuatu perkara dalam novel Silir Daksina ialah peristiwa Ong See Hwa / Ai Ling memenangi pertandingan mendeklamasikan sajak peringkat sekolah setelah gigih berlatih dengan Cikgu Amirulnizam / Cikgu Zam walaupun dia mempunyai masalah pernafasan. Peristiwa ini menunjukkan perlunya berusaha dengan gigih dan tidak berputus asa untuk mencapai kejayaan / impian.
    

SPM NOVEL : PERISTWA YANG IDAK DAPAT DILUPAKAN OLEH PEMBACA DALAM DI SEBALIK DINARA DAN SILIR DAKSINA

BY Eppy Sensei IN , , , No comments


     Novel yang saya pelajariialah novel Di sebalik Dinara karya Dayang Noor dan novel Silir Daksina karya Nizar Parman.

    Peristiwa yang menggambarkan peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh pembaca dalam novel Di Sebalik Dinara ialah peristiwa badan Farisha yang ditanam dengan implan dan dimasukkan pelbagai ubat semasa masih bayi tanpa dibius oleh ayah kandungnya, Karl semata-mata mahu menjadikannya genius. Peristiwa ini tidak dapat dilupakan oleh pembaca kerana ibu bapa sepatutnya melindungi anak-anak dan bukannya melakukan penganiayaan terhadap anak kandung mereka sendiri.

    Peristiwa yang menggambarkan peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh pembaca dalam novel Silir Daksina pula ialah peristiwa peristiwa Haiqal bertekad menjejaki kehiduapn lampau ayah kandungnya di Kampung Seri Purnama walaupun menghadapi tentangan oleh ibunya. Peristiwa ini tidak dapat dilupakan oleh pembaca kerana seorang anak yang sanggup mengambil risiko pergi ke Johor seorang diri walaupun setelah dihalang oleh ibunya kerana dia terlalu sayang akan ayah kandungnya yang telah lama meninggal dunia.

SPM NOVEL : SIKAP BERTANGGUNGJAWAB DALAM KALANGAN MASYARAKAT DALAM NOVEL DI SEBALIK DINARA DAN SILIR DAKSINA

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


    Novel yang saya pelajari ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor dan Silir Daksina karya Nizar Parman.

    Peristiwa yang menggambarkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat bagi novel Di Sebalik Dinara ialah peristiwa Azraai memasang "retinal scanner" dan interkom pada pintu rumah adik angkatnya, Farisha. Hal ini berlaku kerana terdapat suatu kes pembunuhan di kawasan perumahan adiknya itu. Peristiwa ini menunjukkan sikap bertanggungjawab kerana seorang abang ingin melindungi keselamatan adiknya.

    Peristiwa yang menggambarkan sikap bertanggungjawab dalam kalanagna masyarakat bagi novel Silir Daksina pula ialah peristiwa Abdullah bin Kayan menulsi manuskrip untuk anaknya Haiqal yang terpisah daripadanya sejak kecil sebagai bukti kerinduan dan kasih sayang kepada anaknya itu. Peristiwa ini menunjukkan sikap bertanggungjawab seorang ayah kerana ingin memastikan kasih sayangnya terhadap anak tidak terputus walaupun telah terpisah akibat penceraian. 

SPM NOVEL : PERISTIWA MEMBERI KESAN MENDALAM KEPADA PEMBACA DALAM DI SEBALIK DINARA DAN SILIR DAKSINA

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


    Novel yang saya pelajari ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor dan novel Silir Daksina karya Nizar Parman.

    Peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada pembaca dalam novel Di Sebalik Dinara ialah peristiwa ketika Farisha berada di rumah Azraai, Farisha diberitahu bahawa dirinya merupakan anak angkat kepada keluraga Azraai. Peristiwa ini peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada pembaca kerana pembaca berasa sedih atas nasib seorang anak yang selama ini menyangka bahawa dia ialah anak kandung, tetapi rupa-rupanya hanyalah anak angkat.

     Peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada pembaca dalam novel Silir Daksina pula ialah peristiwa Haiqal menziarahi pusara ayahnya, Abdullah bin Kayan dan membacakan surah Yasin dalam keadaan sebak. Peristiwa ini peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada pembaca kerana pembaca berasa sedih dengan nasib seorang anak yang sanagt merindui ayahnya yang telah meninggal dunia.

SPM NOVEL : HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG ERAT DALAM DI SEBALIK DINARA DAN SILIR DAKSINA

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


    Novel yang saya pelajari ialah novel DI Sebalik Dinara karya Dayang Noor dan novel Silir Daksina karya Nizar Parman.

    Peristiwa yang menggambarkan hubungan kekeluargaan yang erat dalam novel Di senalik Dinara ialah peristiwa Azraai memasang "retinal scanner" dan interkom pada pintu apartmen adik angkatnya, Farisha untuk memastikan keselamatan Farisah terjamin kerana berlaku kes pembunuhan di kawasan itu. Peristiwa ini peristiwa yang menggambarkan hubungan kekeluargaan yang erat antara seorang abang dan adiknya / adik angkatnya.

    Peristiwa yang menggambarkan hubungan kekeluargaan yang erat dalam novel Silir Daksina ialah peristiwa Walid merestui pemergian Haiqal ke Kampung Seri Purnama kerana memahami perasaannya dan memberi wang buat perbelanjaan Haiqal. Peristiwa ini peristiwa yang menggambarkan hubungan kekeluargaan yang erat antara ayah tiri dan anaknya / anak tirinya.