Belakangan ini, kebolehpasaran graduan sering menjadi persoalan utama yang dibincangkan oleh pelbagai pihak, terutamanya dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan penggiat industri. Walaupun graduan kini dilengkapi dengan kelayakan akademik yang baik, namun masih ramai yang gagal bersaing menempatkan diri dalam bidang kerjaya impian. Masih ramai yang beranggapan bahawa kecemerlangan akademik akan meletakkan graduan pada tingkat tinggi dalam piramid persaingan, padahal akhirnya mereka kecundang kerana bertemu kegagalan dalam usaha mendapatkan pilihan mereka. Lantaran itu, setiap graduan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan yang mampu menjadi nilai tambah dalam pasaran kerja. Persoalannya, apakah persediaan-persediaan yang sewajarnya dilakukan oleh pelajar sebagai nilai tambah untuk menempuh alam pekerjaan?
Pertama, pelajar wajar menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan menghadapi persaingan pasaran kerja yang semakin global. Hal ini dikatakan demikian kerana syarikat multinasional kini lebih cenderung memilih pekerja yang fasih berkomunikasi dalam pelbagai bahasa antarabangsa. Pelajar seharusnya mengambil inisiatif mengikuti kursus-kursus bahasa tambahan yang banyak ditawarkan di pusat bahasa universiti atau melalui kelas dalam talian. Sebagai contoh, penguasaan bahasa Mandarin, bahasa Jepun dan bahasa Korea akan memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk mendapat peluang pekerjaan dengan syarikat-syarikat dari negara Asia Timur. Kebolehan berbahasa asing membolehkan graduan berurusan dengan prospek pelanggan dari luar negara tanpa halangan komuniskasi supaya aspirasi syarikat dapat disampaikanndengan jelas. Jelaslah bahawa penguasaan pelbagai bahasa boleh memberi kelebihan besar yang membantu graduan menonjol berbanding calon lain.
Kedua, pelajar perlu meningkatkan tahap literasi digital sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 yang menyaksikan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat di seluruh dunia. Hal ini menyebabkan majikan kini lebih berminat mengambil pekerja yang mahir menggunakan teknologi, perisian dan aplikasi terkini dalam melaksanakan tugas. Pelajar seharusnya memanfaatkan bengkel teknologi, kelas kemahiran digital atau pertandingan inovasi untuk mengasah kemampuan diri, selain dapat menambahkan pelbagai pengetahuan berkaitan teknologi terkini. Misalnya, kebanyakan sektor pekerjaan zaman sekarang memerlukan kemahiran mengendalikan perisian analisis data atau platform pemasaran digital yang amat diperlukan dalam sektor pemasaran serta kewangan. Graduan yang cekap mengurus teknologi pasti akan lebih cepat menyesuaikan diri dengan tugasan kerja sebenar yang memberi kelebihan kepadanya berbanding pesaing yang lain. Oleh itu, penguasaan literasi digital memberi nilai tambah besar kepada graduan.
Akhir sekali, pelajar perlu meningkatkan kemahiran komunikasi agar mampu berinteraksi dengan berkesan di tempat kerja. Hal ini perlu diberi perhatian kerana majikan amat menekankan keupayaan pekerja untuk menyampaikan maklumat dengan jelas, sama ada secara lisan mahupun bertulis. Bagi mencapai standard ini, pelajar boleh menyertai aktiviti seperti debat, pembentangan akademik atau program kepimpinan bagi memupuk keyakinan diri dan ketajaman kemahiran berkomunikasi. Contoh yang paling mudah difahami ialah pelajar yang aktif dalam kelab berdebat biasanya lebih mahir berhujah dan berunding secara profesional kerana mereka mampu menterjemahkan buah fikiran ke dalam bentuk penyataan. Hal ini pasti dapat membantu graduan membina hubungan kerja yang harmoni dengan rakan sekerja dan pelanggan. Tegasnya, kemahiran komunikasi yang mantap menjadi senjata yang ampuh bagi pelajar untuk menonjol dalam dunia pekerjaan.
Sudah terang lagi bersuluh, pelajar perlu membuat pelbagai persediaan tambahan bagi mengelakkan mereka daripada tersisih dalam persaingan kerjaya. Penguasaan pelbagai bahasa, literasi digital yang tinggi dan kemahiran komunikasi yang berkesan pasti akan menjadi nilai tambah yang dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar. Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak khususnya diri pelajar sendiri, selain bantuan institusi pengajian tinggi dan sokongan keluarga yang tidak berbelah bahagi. Golongan muda hari ini sewajarnya lebih proaktif untuk mempersiapkan diri sendiri agar dapat menjadi tenaga kerja berkualiti yang mampu membawa negara ke arah kemajuan.

0 comments:
Post a Comment