Blogroll

Friday, August 18, 2023

KARANGAN CONTOH 22 : PELAJAR DAN KEBURUKAN LAMAN SOSIAL / MEDIA SOSIAL

BY Eppy Sensei IN , No comments

 


    
    Laman sosial atau media sosial telah banyak mengubah landskap kehidupan manusia, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. Golongan pelajar menikmati banyak faedah daripada kemajuan bidang teknologi komunikasi ini, bukan sahaja dari aspek kehidupan, malah aspek pendidikan juga. Namun begitu, sesuatu yang baik tetap akan mendatangkan keburukan jika tidak dilaksanakan dengan berhemah atau berpada-pada.

    Antara keburukan penggunaan laman sosial kepada pelajar adalah meningkatnya kes penyebaran berita palsu dan fitnah. Penyebaran berita palsu dan fitnah yang semakin berleluasa di laman sosial akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat, khususnya pelajar. Sebagai contoh, ketegangan antara kaum boleh berlaku hanya dengan penyebaran satu khabar angin yang tidak benar di laman sosial oleh pelajar. Kesannya, remaja akan kehilangan rakan dan lebih buruk lagi, pelajar mungkin akan ditahan oleh pihak berkuasa.

    Selain itu, penggunaan laman sosial yang tidak dikawal turut menyebabkan ketagihan yang melampau dalam kalangan pelajar. Ramai dalam kalangan pelajar gemar menghabiskan sebahagian besar masa mereka dengan melayari pelbagai medium sosial yang mereka gemari. Tamsilnya, masa hujung minggu yang sepatutnya diluangkan untuk bersama keluarga dan menyiapkan kerja sekolah disiakan dengan melayari laman sosial dan menyendiri. Akhirnya, pelajar akan ketagihan dan sukar untuk menjalani kehidupan seharian jika perkara tersebut dijadikan sebagai rutin.

    Di samping itu, pelajar juga akan menghadapi masalah kesihatan fizikal dan mental jika menyalahgunakan laman sosial. Hal ini dikatakan demikian kerana jika pelajar tidak cukup tidur dan rehat kerana terlalu menumpukan perhatian terhadap laman sosial, remaja akan mendapat kesannya. Buktinya, ramai dalam kalangan pelajar menghidap penyakit seperti masalah penglihatan, keletihan, sakit pada bahagian belakang dan bersikap antisosial. Oleh itu, pelajar seharusnya mengurangkan penggunaan laman sosial dan mula mengambil berat terhadap tahap kesihatan diri sendiri.

    Akhir sekali, pelajar berkemungkinan akan terdedah kepada risiko menjadi mangsa penipuan dan jenayah siber. Pelajar yang naif akan mudah tertipu dan terpancing dengan pelbagai helah yang digunakan oleh penjenayah untuk mencari mangsa. Contohnya, terlalu cepat mempercayai orang yang baru dikenali mendedahkan pelajar kepada bahaya menjadi mangsa penipuan, penculikan serta mangsa sindiket pemerdagangan orang. Tuntasnya, pelajar mestilah sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah siber.

    Kesimpulannya, penggunaan laman sosial secara tidak terkawal dan tidak beretika akan memberi kesan negatif kepada pelajar. Pelajar seharusnya memanfaatkan penggunaan media sosial dalam kehidupan agar kemajuan teknologi ini memberi kebaikan kepada mereka.















 






0 comments:

Post a Comment