Blogroll

Wednesday, September 10, 2025

KARANGAN CONTOH 30 : LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

BY Eppy Sensei IN , , No comments

 


        Tahukah anda, kebanyakan generasi muda zaman kini tidak mengetahui asas permainan tradisional seperti galah panjang, congkak, teng-teng dan layang-layang? Ada di antara mereka tidak pernah menyentuh gasing dan batu Seremban seumur hidup mereka. Lebih mengejutkan, kebanyakan antara mereka berpendapat bahawa permainan tradisional merupakan sesuatu yang lapuk, tidak sesuai dengan trend semasa dan tidak penting untuk dipelajari. Hal ini amatlah mengejutkan kerana sebagai generasi muda, kita diharapkan dan dianggap sebagai penerus tradisi generasi dari zaman-berzaman milik bangsa kita. Realitinya, harapan ini masih terlalu sukar untuk dicapai, ibarat jauh panggang dari api. Jika hendak dikupas lebih lanjut, kita tidak dapat menyalahkan mereka sepenuhnya atas kejahilan pemahaman tersebut. Uslub-uslub yang dinamik seharusnya dilaksanakan agar penyelesaian yang berimpak dapat dicapai. 

        Sebagai wadah bicara yang pertama, pihak kerajaan sewajarnya bertindak menyediakan pelbagai kemudahan permainan tradisional di tempat awam, sekolah, taman permainan dan Kawasan rekreasi. Kerajaan sebagai pihak yang berwenang haruslah melaksanakan Kerjasama komprehensif melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyediakan ruang khas dan kelengkapan permainan tradisional di Kawasan yang mudah diakses oleh orang ramai. Sebagai contoh, papan congkak atau dataran bermain gasing boleh disediakan di taman-taman komuniti, manakala pusat rekreasi boleh menganjurkan sesi pengenalan dan demonstrasi permainan tradisional secara berkala kepada pengunjung. Kesannya, kemudahan ini akan dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk mencuba dan mengenali permainan tradisional secara lebih dekat. Seperti kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, usaha gigih seperti ini perlulah disertai dengan tindakan berterusan untuk mendapatkan hasil yang diingini.

        Selain itu, ibu bapa perlu menyemai minat anak-anak bermain permainan tradisional sejak mereka kecil lagi. Untuk mencapai hasrat ini, ibu bapa boleh memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak di rumah melalui aktiviti harian seperti bermain congkak bersama-sama atau mengadakan pertandingan keluarga semasa hujung minggu. Ibu bapa juga boleh menceritakan pengalaman sendiri dan keseronokan bermain permainan tradisional semasa zaman kanak-kanak mereka sebagai motivasi. Didikan awal seperti ini amat penting kerana pada usia yang masih kecil, anak-anak amat mudah menerima serta mengamalkan apa yang didedahkan oleh ibu bapa mereka yang mereka anggap sebagai suri teladan. Hal ini amat bertepatan dengan aforisme Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang jelas menunjukkan bahawa usaha memupuk minat terhadap warisan budaya perlu bermula dari rumah.

        Akhir sekali, sekolah sebagai institusi ilmu perlulah menerapkan permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Bagi merealisasikan aspirasi ini, pihak sekolah boleh mengadakan Kelab Permainan Tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum mingguan di luar bilik darjah. Permainan tradisional juga boleh diterapkan dalam aktiviti subjek Pendidikan Jasmani atau program Hari Sukan Sekolah. Hal ini dimantapkan lagi dengan peranan guru-guru dalam memberikan pendedahan tentang sejarah dan teknik bermain sambil menggalakkan murid untuk menyertainya secara aktif. Langkah ini bukan sahaja berimpak dalam memberi pengetahuan kepada murid-murid tentang budaya sendiri, malah dapat mengasah kemahiran sosial dan fizikal mereka. Seperti kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, maka generasi muda perlu didedahkan dengan permainan tradisional agar mereka menghargainya. 

        Sudah terang lagi bersuluh, pelbagai usaha perlu dijalankan oleh semua pihak termasuklah Kerajaan, ibu bapa dan sekolah bagi memastikan permainan tradisional terus hidup dalam arus kemodenan. Penyediaan kemudahan, sokongan keluarga dan pendidikan formal mampu memberi Kesan yang signifikan terhadap minat golongan muda terhadap warisan budaya ini. Sekiranya Langkah-langkah ini dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tidak mustahil permainan tradisional akan kembali popular dan menjadi kebanggaan  generasi akan datang. Warisan bangsa harus dipelihara kerana budaya merupakan salah satu identiti yang perlu dipertahankan. 

0 comments:

Post a Comment