Menabung merupakan salah satu konsep asas kewangan yang boleh diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tabiat menabung boleh dimulakan dengan mendidik anak-anak mengenai cara menyimpan wang. Perkara ini amat penting kerana terdapat banyak faedah amalan menabung dalam kehidupan kita.
Memang tidak dapat dinafikan, duit tabungan boleh menjadi cagaran semasa menghadapi kecemasan. Malang tidak berbau, kita boleh diuji dengan perkara yang tidak diduga dan situasi di luar jangka pada bila-bila masa. Contohnya, jika kita terlibat dalam kemalangan jalan raya atau ada dalam kalangan ahli keluarga yang jatuh sakit, wang simpanan akan dapat membantu kita dari segi kos perbelanjaan. Terbuktilah, amalan menabung dapat membantu kita pada saat kritikal.
Selain itu, amalan menabung membantu ibu bapa sebagai jaminan masa depan anak mereka dalam pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana yuran institusi pengajian tinggi (IPT) amat mahal dan boleh diatasi sekiranya keluarga mempunyai wang simpanan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyimpan sejumlah wang ke dalam akaun simpanan anak sejak mereka masih kecil, bak peribahasa Melayu, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Tegasnya, wang tabungan boleh digunakan untuk melunaskan kos pengajian anak-anak.
Di samping itu, wang tabungan juga boleh digunakan untuk untuk membeli buku, alat tulis dan keperluan lain sebagai seorang pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai seorang pelajar, kita memerlukan wang untuk mendapatkan bekalan alat tulis sepanjang tahun. Jika kita ada membuat tabungan, kita mampu membeli alat tulis untuk diri sendiri termasuklah buku-buku latihan dan keperluan aktiviti kokurikulum. Kesimpulannya, kita dapat memenuhi keperluan asas diri sendiri secara konsisten jika kita ada membuat tabungan wang.
Akhir sekali, amalan menabung juga dapat mengelakkan pembaziran dan menjamin masa hadapan. Hal ini dapat dicapai jika kita berjimat dan merancang perbelanjaan harian kita. Lebihan wang tersebut boleh ditabung atau disimpan untuk kegunaan kemudian hari. Umpamanya, kita seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum berbelanja dengan mengutamakan barang keperluan berbanding barangan kehendak. Tegasnya, amalan menabung merupakan tindakan yang bijak untuk mengelakkan pembaziran.
Kesimpulannya, amalan menabung mendatangkan banyak faedah dan patut dimulakan sejak usia muda. Semua pihak haruslah menggembleng usaha untuk memastikan amalan ini mampu menjadi sebuah kitaran positif dalam masyarakat. Kitaran positif ini amat penting untuk diwujudkan supaya amalan menabung diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
0 comments:
Post a Comment