Menabung merupakan amalan menyimpan sejumlah wang sama ada di dalam bekas sendiri ataupun di bank-bank berdaftar. Masyarakat boleh berjinak-jinak dengan amalan ini bermula sejak kecil kerana ada pepatah menyatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Perkara ini patutlah dijadikan amalan oleh semua orang kerana menabung terbukti memberi seribu satu kebaikan kepada kita.
Antara faedah menabung ialah kita boleh menambahkan simpanan wang kita. Kita boleh menambahkan wang tabungan kita dengan cara menguruskan perbelanjaan harian kita secara bijak dan cermat. Sebagai contoh, wang saku yang diperoleh secara harian daripada ibu bapa boleh dibahagikan dan ditabung sebahagiannya. Hasilnya, wang simpanan kita akan semakin bertambah dari hari ke hari jika kita terus menabung, bak aforisme Melayu, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Selain itu, kita juga boleh membuat pembelian yang kita kehendaki pada bila-bila masa jika kita mempunyai wang tabungan. Dengan adanya wang tabungan, kita boleh membuat pembelian di luar jangka dan segera termasuklah keperluan semasa kecemasan. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan wang tabungan untuk kos membaiki kereta yang rosak atau membayar perbelanjaan hospital bagi ahli keluarga yang jatuh sakit. Jelaslah bahawa wang tabungan amat bermanfaat untuk digunakan bagi pembelian dan keperluan segera yang tidak dapat dielakkan.
Di samping itu, wang tabungan juga boleh digunakan untuk untuk membeli buku, alat tulis dan keperluan lain sebagai seorang pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai seorang pelajar, kita memerlukan wang untuk mendapatkan bekalan alat tulis sepanjang tahun. Jika kita ada membuat tabungan, kita mampu membeli alat tulis untuk diri sendiri termasuklah buku-buku latihan dan keperluan aktiviti kokurikulum. Kesimpulannya, kita dapat memenuhi keperluan asas diri sendiri secara konsisten jika kita ada membuat tabungan
Akhir sekali, wang tabungan boleh dimanfaatkan untuk masa hadapan kita. Apabila kita hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan, kita akan memerlukan sejumlah wang yang banyak. Sebagai contoh, kita perlu membayar yuran pengajian yang berjumlah agak besar selain untuk membeli barang keperluan serta buku-buku kuliah yang mahal. Tuntasnya, jika kita menabung dari sekarang, wang tabungan tersebut boleh dimanfaatkan untuk menampung kos perbelanjaan kita pada masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment