Blogroll

Tuesday, June 13, 2023

KARANGAN CONTOH 18 : FAKTOR-FAKTOR YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN DALAM PEMILIHAN KERJAYA TERBAIK

BY Eppy Sensei IN , No comments

 



        Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Jika ditelusuri realiti masa kini, manusia boleh memilih kerjaya pilihan mereka atau mencipta sendiri kerjaya mereka. Bidang pekerjaan yang semakin rencam selari dengan perkembangan bidang sains dan teknologi menawarkan pelbagai peluang kerjaya untuk diteroka oleh setiap orang. Landskap ekonomi negara turut membuka banyak peluang pekerjaan dan pengembangan kerjaya. Justeru, golongan remaja hari ini perlu mengetahui apakah faktor-faktor pemilihan kerjaya yang baik dan menjamin masa hadapan yang cerah untuk diri mereka. 

        Faktor utama yang mempengaruhi pemilihan kerjaya dalam kalangan remaja adalah berdasarkan minat dan cita-cita. Faktor minat menjadi pendorong utama dalam pemilihan kerjaya kerana setiap induvidu mempunyai semangat dan keterujaan untuk melaksanakan sesuatu yang memberikan kebahagiaan kepada diri mereka. Sebagai contoh, Allahyarham Sudirman Bin Haji Arshad merupakan penyanyi terkenal dan penghibur tersohor negara pada suatu ketika dahulu. Beliau merupakan graduan undang-undang tetapi meninggalkan bidang guaman untuk memilih bidang seni sebagai kerjaya pilihannya. Ternyata disebabkan minat dan cita-citanya yang kuat, beliau berjaya menambat hati hampir seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu dengan lagu-lagu ciptaan beliau sehingga digelar “Penghibur Nombor 1 Di Asia”. Senario ini menunjukkan bahawa minat mendalam dan cita-cita yang tinggi mampu mempengaruhi pemilihan kerjaya dan memberikan kepuasan kepada diri sendiri.

       Faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh remaja dalam memilih kerjaya mereka ialah latar belakang akademik. Kemampuan akademik selama sebelas tahun di bangku sekolah mempengaruhi sebilangan besar pemilihan kerjaya dalam kalangan remaja. Pelajar yang gemar akan mata pelajaran matematik cenderung untuk memilih kerjaya seperti jurutera, sama seperti pelajar yang menggemari subjek biologi akan memilih kerjaya dalam bidang perubatan. Dalam erti kata lain, pembelajaran di sekolah akan mempengaruhi pemilihan kerjaya pada masa hadapan. Prestasi yang baik akan menjadi kayu ukur bagi majikan atau syarikat untuk menapis calon-calon pekerja kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Jika pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan, sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Intihanya, latar belakang akademik merupakan faktor yang penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.

        Pada masa yang sama, remaja perlu melihat dan mengkaji prospek kerjaya yang akan dipilih. Faktor ini amat penting bagi menjamin kelangsungan hidup setiap individu kerana kerjaya yang baik memberikan gaji yang lumayan. Misalnya, bidang perubatan dan perbankan menjadi pilihan ramai remaja kerana  aspek kestabilan kerja, gaji yang berpatutan dan prospek kerjaya yang meyakinkan. Kenaikan taraf hidup dan kos sara hidup yang kian meningkat menjadi titik tolak kepada remaja dalam memilih kerjaya yang memberikan upah atau gaji yang berpatutan. Keadaan ekonomi dunia amnya dan negara khususnya yang tidak menentu ketika ini menyebabkan kerjaya yang dipilih berlandaskan kemampuan menampung keperluan rancangan masa hadapan, berkeluarga serta memiliki aset seperti rumah dan kereta. Jelaslah bahawa faktor prospek kerjaya mempengaruhi remaja dalam memilih kerjaya pilihan mereka.

        Akhir sekali, pengaruh serta sokongan daripada ibu, bapa dan ahli keluarga juga menjadi faktor dalam pemilihan kerjaya remaja. Ibu dan bapa seharusnya memberikan sokongan terhadap minat anak-anak mereka kerana jika dipaksa untuk melakukan kerja yang tidak diminati, pasti mereka akan mudah kecundang dan gagal dalam kerjaya tersebut. Misalnya, atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang tidak akan berjaya menjadi atlet yang bertanding di peringkat dunia sekiranya ayah beliau tidak menghadiahkan sebuah basikal sebagai ganjaran kecemerlangan beliau di sekolah. Bermula daripada dorongan itu, beliau meneruskan cita-cita menjadi atlet berbasikal negara dan berjaya merangkul pingat emas di kejohanan peringkat dunia. Sudah terang lagi bersuluh, ibu dan bapa boleh membantu anak-anak mencapai cita-cita mereka dengan memberikan kata-kata semangat atau menghantar mereka ke kelas yang berkaitan dengan minat mereka. Natijahnya, sokongan ibu dan bapa ialah faktor yang mustahak dalam pemilihan kerjaya para remaja.

        Tuntasnya, banyak faktor boleh dikupas sebagai pemangkin kepada pemilihan kerjaya dalam golongan remaja hari ini. Faktor-faktor ini tidak boleh dipandang enteng kerana tanpa kerjaya yang baik, remaja mungkin tidak mengecap kebahagiaan seperti yang diinginkan. Semua pihak yang berkaitan terutamanya ahli keluarga seharusnya memberikan bimbingan dan panduan yang tepat agar remaja hari ini membuat pilihan yang baik. Sokongan dalam bentuk fizikal, mental dan kerohanian wajar diberikan supaya para remaja hari ini dapat bersaing dan membentuk diri mereka dengan kemahiran dan kelayakan yang tinggi bagi merebut peluang kerjaya yang semakin terhad. Bak aforisme Melayu dahulu kala, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, dugaan dan cabaran perlu ditempuh dengan usaha sebelum berjaya mencapai cita-cita dan kerjaya impian.

        

         
        

0 comments:

Post a Comment