Pengawas sekolah dilantik oleh pihak sekolah secara rasmi. Pengawas bertugas mengawasi dan memastikan setiap peraturan sekolah dipatuhi oleh semua murid. Pengawas membantu pihak sekolah menjaga disiplin murid. Terdapat beberapa ciri pengawas sekolah yang berkualiti yang dijadikan kriteria bagi pemilihan pengawas.
Antaranya, seseorang pelajar yang ingin dilantik menjadi pengawas sekolah mestilah seorang yang bersikap bertanggungjawab. Seorang pengawas haruslah bersedia memikul tugas sebagai pelaksana peraturan sekolah dengan rasa penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, pengawas mestilah berani menegur rakan pelajar yang membuat kesilapan dan kesalahan seperti melanggar peraturan sekolah tanpa ada rasa pilih kasih. Tuntasnya, sikap ini pasti akan dapat melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti di sekolah.
Selain itu, seorang pengawas juga hendaklah sentiasa berintegriti dan amanah dalam memikul tugas. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap ini merupakan sikap yang amat diperlukan bagi memastikan peraturan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Misalnya, setiap salah laku dan pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh mana-mana pelajar perlu dilaporkan tanpa sikap berat sebelah atau pilih bulu. Impaknya, masalah disiplin dapat dibendung dan dikurangkan dengan jayanya secara menyeluruh.
Di samping itu, seorang pengawas berkualiti merupakan seorang pelajar yang berilmu pengetahuan. Pengawas yang cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai pengetahuan yang luas akan menjadi idola dan suri teladan kepada pelajar-pelajar lain. Perkara ini boleh dilakukan dengan tidak ketinggalan dalam pelajaran dan menyiapkan tugasan serta kerja sekolah secara konsisten. Dengan ini, imej yang positif dapat dibina dan dibentuk dalam kalangan pelajar.
Akhir sekali, seorang pengawas yang berkualiti juga hendaklah mengamalkan sikap toleransi ketika menjalankan tugas. Sikap ini amat penting diamalkan supaya seorang pengawas tidak bertindak kejam atau menyalahgunakan kuasa. Tamsilnya, pengawas hendaklah bersedia mendengar penjelasan dan bertimbang rasa terhadap keadaan rakan-rakan pada saat yang diperlukan. Kesannya, sikap yang baik ini pasti akan melahirkan pemimpin yang bersikap empati dan memahami kesukaran dan kesusahan yang dihadapi oleh orang lain.
Intihanya, seorang pengawas perlulah dipilih dalam kalangan pelajar yang mempunyai ciri dan kriteria yang baik. Hal ini perlu ditekankan supaya seorang pengawas yang dipilih dapat menerapkan nilai murni, selain melatih pelajar supaya menjadi seorang pemimpin yang berkualiti suapaya generasi “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” dapat dilahirkan.
0 comments:
Post a Comment