Blogroll

Monday, January 30, 2023

SAMAN TRAFIK : NAIK MAHKAMAH SEBAB GUNA TELEFON BIMBIT SEMASA MEMANDU - APA NAK BUAT? (MAHKAMAH MAJISTRET JOHOR BAHRU)

BY Eppy Sensei IN No comments

 


Bermula 6 Julai 2020, kesalahan menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu telah dikategorikan sebagai saman yang tidak boleh dikompaun bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan. Saman yang tidak boleh dikompaun bermaksud pesalah perlu menyelesaikan kes dan bayaran kompaun di mahkamah berbanding hanya perlu menyelesaikannya secara atas talian atau datang ke kaunter sebelum ini. Perubahan ini menyaksikan jumlah denda maksimum hingga RM1000 dan penjara tidak lebih daripada 3 bulan boleh dikenakan ke atas pesalah.

Bagi yang tidak pernah berurusan dengan pihak kehakiman, perkataan "mahkamah" sahaja sudah cukup menggerunkan. Tapi, janganlah panik! Sebenarnya, pengalaman naik mahkamah memang mendebarkan, namun itu mungkin cukup untuk dijadikan sebagai pengajaran supaya kita tidak lagi mengulang kesalahan yang sama supaya kita dapat menjadi pemandu yang lebih bertanggungjawab. 

Kadang-kadang, kita guna telefon untuk perkara yang penting seperti penggunaan aplikasi Waze atau Maps, tetapi apabila pegawai polis yang menjalankan tugasnya menahan anda, ceritanya akan bertukar. Berikut disenaraikan secara kronologi apa yang perlu dibuat jika kita mendapat saman trafik atas kesalahan penggunaan alat telekomunikasi semasa memandu (pengalaman ini berdasarkan kes di Mahkamah Majistret Johor Bahru)

1. Jika anda ditahan pegawai peronda / polis kerana menggunakan telefon bimbit (atas apa sahaja tujuan), jangan panik. Ikut arahan pegawai terbabit, jangan bergaduh dan akui kesalahan anda. Gunakan bahasa yang sopan.

2. Selepas menerima surat saman, pastikan maklumat anda betul dan lihat tarikh perbicaraan yang tertera. Ingat, SAMAN HANYA BOLEH DIBAYAR DI MAHKAMAH. Elakkan perbuatan salah seperti memberi rasuah. Fotostat surat saman tersebut kerana ink pada surat saman itu akan semakin kabur. Tarikh bicara mungkin 1 hingga 2 bulan dari tarikh saman dikeluarkan.

3. Pada tarikh perbicaraan, anda perlu datang awal ke kompleks mahkamah. Datanglah sebelum jam 8 pagi dan naik ke tingkat berkaitan untuk ke bilik perbicaraan. Pakai pakaian sopan, tidak semestinya formal. Jangan memakai seluar pendek atau skirt pendek. Bawa surat saman original dan fotostat (jika perlu) dan kad pengenalan. Beratur dan tunggu pegawai bertugas memanggil dan mengutip surat saman serta kad pengenalan anda. 

4. Apabila diarahkan masuk ke bilik perbicaraan, pastikan anda tidak membuat bising. Paling penting, penggunaan telefon bimbit adalah dilarang sama sekali. Jika anda membawa telefon bimbit anda masuk, pastikan ianya dalam mode senyap atau dimatikan. Jangan ambil gambar atau membuat rakaman video. Telefon anda akan dirampas oleh pegawai bertugas dan diserahkan kepada hakim untuk tindakan seterusnya. 

5. Duduk dengan tertib, buka topi dan "sling bag" anda. Tunggu Jurubahasa memanggil nama anda. Anda mungkin akan dipanggil bersama 4 pesalah yang lain dan akan masuk ke kandang bicara serentak. Perbicaraan akan dilakukan satu per satu. Pastikan anda bercakap dengan suara yang jelas.

6. Semasa dibicarakan, gunakan bahasa lisan yang sopan. Jangan berpeluk tubuh atau menunjukkan bahasa badan yang tidak sopan. Apabila Jurubahasa membacakan kesalahan anda, jangan bergaduh, sebaiknya mengaku sajalah kesalahan anda, sebaliknya jika benar anda tidak bersalah, anda perlu mengemukakan bukti yang berkaitan. 

7. Anda akan ditanya sama ada hendak membuat rayuan atau tidak, jika anda tidak mahu membuat rayuan, anda mungkin akan dijatuhkan hukuman denda maksimum atau penjara atau kedua-duanya. Namun, jika anda hendak membuat rayuan, anda perlu menyatakan alasan munasabah dan kukuh untuk mengurangkan jumlah denda maksimum tersebut. Contoh alasan yang digunakan adalah tidak mampu, menanggung keluarga dan sebagainya.

8. Selepas proses rayuan, hakim akan membacakan keputusan dan hukuman. Biasanya selepas proses rayuan yang berjaya, pesalah bagi kesalahan ini akan didenda sebanyak RM300. Keluar dari bilik perbicaraan dan pegi ke kaunter bayaran. Di sini, anda perlu menunggu semua pesalah selesai dibicarakan dahulu, barulah anda akan dapat menyelesaikan jumlah saman.

9. Kaunter bayaran di mahkamah menggunakan sistem tanpa tunai (cashless). Anda boleh menggunakan kad debit atau mana-mana kad yang boleh digunakan untuk pembayaran. Jika anda hendak menggunakan tunai (cash), pastkan anda membawa jumlah yang cukup berdasarkan saman yang diperoleh. Bayaran tidak boleh dilakukan di kaunter. Anda perlu membayar di kiosk atau mesin debit yang disediakan di tingkat bawah bangunan mahkamah.

10. Dapatkan resit bayaran rasmi selepas anda selesai membuat urusan pembayaran. Maka, selesailah urusan anda di mahkamah pada hari tersebut.

Terdapat juga situasi apabila anda datang ke mahkamah pada tarikh perbicaraan, pegawai bertugas akan memulangkan surat saman dan kad pengenalan anda dengan alasan kesalahan anda tidak direkodkan dalam sistem Bukit Aman. Jika perkara ini berlaku, anda perlu hadir ke Balai Polis Trafik Johor Bahru untuk mendapatkan tarikh perbicaraan yang baharu. Biasanya, anda boleh memohon tarikh baru dalam tempoh selepas 2 minggu dari tarikh bicara yang asal.

Jangan mengambil tindakan kurang bijak dengan mengabaikan arahan untuk mendapatkan tarikh baharu ini kerana rekod kesalahan anda tetap ada dalam sistem saman trafik. Elakkan daripada membuat kesalahan-kesalahan lain yang akan mendatangkan hukuman yang lebih berat ke atas anda. 

Itu sahaja, semoga dapat membantu!

0 comments:

Post a Comment