Blogroll

Sunday, December 10, 2023

[SPM] BAHAGIAN A - KESELAMATAN DI BADAN AIR

BY Eppy Sensei IN , , No comments

 


    Aktiviti badan air terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya tali air, perigi, kolam dan tasik. Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), 336 orang mangsa lemas berlaku di seluruh negara dengan kejadian lemas tertinggi di kawasan sungai dan tali air. Kejadian ini boleh dielakkan jika langkah-langkah keselamatan ketika di air diambil kira.

    Antara langkah keselamatan yang penting adalah memastikan keadaan cuaca bersesuaian sebelum dan ketika beraktiviti. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak digalakkan beraktiviti di badan air ketika waktu hujan, apatah lagi ketika musim perubahan angin monsun. Hujan akan mendatangkan risiko tanah runtuh dan tragedi kepala air di kawasan air terjun. Sudah terang lagi bersuluh, kita sewajarnya mengambil tahu aspek cuaca sebelum bercadang untuk beraktiviti di badan air.

    Akhir sekali, kita hendaklah memakai jaket keselamatan ketika melaksanakan aktiviti di badan air, terutamanya bagi kanak-kanak. Langkah ini lebih berkesan sekiranya ibu bapa berinisiatif untuk mengawasi pergerakan anak masing-masing. Kanak-kanak yang tidak dipantau dan tidak dilengkapi alatan keselamatan berisiko tinggi untuk mengalami kecelakaan. Menurut statitistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata kes kematian akibat lemas menjangkau 596 kes dalam tempoh 5 tahun. Angka ini pasti berkurang sekiranya aspek keselamatan diutamakan.
    
    Pendek kata, aspek keselamatan semasa beraktiviti di badan air memberikan impak yang positif sekiranya diutamakan. Pujangga Melayu ada menyebut, malang tidak berbau, namun kita dapat mengelakkan perkara buruk daripada berlaku. Ibu bapa perlu menjadi oknum yang bertanggungjawab agar keselamatan setiap ahli keluarga dapat dijaga.

(200 patah perkataan)

0 comments:

Post a Comment