Blogroll

Sunday, July 30, 2023

KARANGAN CONTOH 19 : PUNCA PENCEMARAN ALAM SEKITAR

BY Eppy Sensei IN , No comments

 


    Pencemaran alam sekitar merupakan salah satu polemik yang sentiasa hangat diperkataan dalam kalangan masyarakat. Di Malaysia khususnya, pencemaran alam masih berleluasa sungguhpun pelbagai langkah telah disusun untuk mengatasinya oleh pelbagai pihak. Oleh itu, kita mestilah meneliti punca-punca masalah ini secara lebih terperinci.

    Antara punca pencemaran alam sekitar ialah aktiviti harian manusia seperti pembakaran terbuka. Hal ini dikatakan demikian kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tanpa segan silu membakar sampah sarap di kawasan kediaman mereka. Sikap ini menyumbang kepada kadar pencemaran udara kerana asap bertoksik daripada bahan yang dibakar akan terbebas ke udara. Kesannya, kualiti udara akan menurun dan hal ini meyumbang kepada pelbagai kesan lain seperti komplikasi kesihatan.

    Selain itu, pencemaran alam juga berlaku kerana sikap manusia yang membuang sampah sarap ke dalam sungai sesuka hati. Sikap buruk ini telah menyebabkan lambakan sampah memenuhi dasar sungai lalu menyebabkan sungai menjadi cetek dan airnya keruh. Situasi genting ini diburukkan lagi oleh sikap tidak bertanggungjawab segelintir orang yang membuang sisa toksik dan sisa industri ke dalam sungai. Perkara ini pasti akan menjejaskan habitat hidupan akuatik, termasuklah mencemarkan sumber air manusia. 

  Di samping itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang juga telah menyumbang kepada meningkatnya pencemaran alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana kelemahan pelaksanaan undang-undang telah menyebabkan manusia tidak takut untuk mencemarkan alam sekitar. sebagai contoh, orang akan terus membuang sampah di merata-rata tempat jika pihak berkuasa tempatan tidak bertindak untuk mengeluarkan saman. Tindakan ini amat penting bagi mendidik masyarakat supaya menjaga alam sekitar.

    Akhir sekali, pencemaran alam sekitar boleh juga berlaku atas faktor semula jadi tanpa penglibatan manusia. Jika cuaca panas berpanjangan, situasi ini kerap menyebabkan kebakaran hutan berlaku. Kebakaran hutan dalam skala yang besar pasti akan menyebabkan berlakunya masalah jerebu yang mengehadkan aktiviti harian manusia. Asap yang terhasil bukan sahaja akan mencemarkan udara, malah kita turut kehilangan hutan yang berfungsi sebagai pembekal oksigen.

    Konklusinya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam usaha mengekang masalah pencemaran alam sekitar. Hal ini amat penting untuk dilaksanakan supaya kita dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan ceria.

0 comments:

Post a Comment