Blogroll

Wednesday, July 19, 2023

KARANGAN CONTOH 15 : PERANAN SEKOLAH MEMUPUK PERPADUAN

BY Eppy Sensei IN , No comments

 



    Perpaduan kaum merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan rakyat bagi sesebuah negara. Generasi muda khususnya perlu memperkasa dan menerapkan semangat perpaduan dalam diri sejak di bangku sekolah lagi. Untuk mencapai visi murni tersebut, sekolah memainkan peranan besar bagi menyemai benih-benih perpaduan dalam kalangan murid-murid.

     Antara peranan pihak sekolah dalam memupuk semangat perpaduan kaum adalah melalui penerapan nilai dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan nilai murni dapat dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh guru-guru semasa mengajar. Sebagai contoh, pembelajaran subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan sejarah banyak menekankan pelbagai nilai yang dapat menyemarakkan perpaduan. Nilai-nilai ini dapat disuntik ke dalam sanubari murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama bagi mencapai objektif pembelajaran. Jelaslah, memperkasa kurikulum di sekolah dapat memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan murid. 

    Selain itu, pihak sekolah juga berperanan memupuk perpaduan kaum dengan mempelbagaikan aktiviti luar kelas seperti aktiviti kokurikulum. Hal ini akan dapat mendedahkan murid tentang peri pentingnya kebersamaan dalam melaksanakan sesuatu sehingga berjaya. Tamsilnya, murid boleh bekerjasama dalam menjayakan aktiviti sukan dan permainan serta menyertai aktiviti kelab dan persatuan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, murid akan mendapat peluang untuk mengikat kerjasama dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum. Impaknya, murid akan saling membantu dan belajar untuk bekerjasama dengan orang lain bagi mencapai kejayaan.
            
    Di samping itu, pihak sekolah boleh menganjurkan pelbagai program khas berimpak tinggi. Program-program ini mestilah melibatkan penyertaan semua murid di sekolah tanpa mengira latar belakang mereka. Dengan ini, perpaduan dapat dipupuk melalui penganjuran program seperti program RIMUP dan sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah pada bulan Ogos setiap tahun. Kebersamaan murid dalam mengambil bahagian bagi setiap acara akan dapat meningkatkan rasa percaya dan mengeratkan kesepakatan kaum antara mereka. Kesannya, murid boleh berintreaksi dengan rakan-rakan lain yang pelbagai kaum tanpa ada rasa curiga.

    Akhir sekali, pihak sekolah juga boleh memanfaatkan wahana media sosial rasmi sekolah sebagai medium perpaduan dalam kalangan murid. Zaman kini, murid banyak meluangkan masa mengakses media sosial setiap hari dan mudah terdedah kepada pelbagai maklumat secara atas talian. Hal ini membuka peluang seluas-luasnya kepada pihak sekolah untuk menyampaikan agenda nasional seperti perpaduan dan rasa cinta akan negara kepada murid-murid. sehubungan itu, pihak sekolah boleh mengongsikan kemas kini berkiatan dengan aktiviti-aktiviti yang mempromosikan semangat perpaduan kaum kepada murid. Izharnya, murid akan sentiasa didedahkan kepada kepentingan semangat perpaduan kaum dalam kehidupan walaupun pada waktu santai.

    Kesimpulannya, sekolah memainkan obligasi yang besar dan fatal bagi memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan murid. Usaha ini haruslah ditingkatkan dengan penganjuran pelbagai program peringkat sekolah setiap tahun. Hal ini amat signifikan untuk dilaksanakan agar perpaduan kaum akan kekal teguh dan subur dalam diri generasi muda, khususnya murid-murid di sekolah. 

        




0 comments:

Post a Comment