Barah paru-paru merupakan antara kanser manusia yang paling agresif dan menjadi punca kepada pelbagai komplikasi kesihatan yang lain. Sungguhpun kanser ini sering dikaitkan dengan tabiat perokok, data menunjukkan trend peningkatan berterusan berlaku dalam kalangan bukan perokok juga. Terdapat beberapa punca berlakunya kanser paru-paru dan langkah untuk mengatasinya yang boleh kita amalkan.
Bak aforisme Melayu, "tiada beban, batu digalas", tabiat merokok yang sudah diketahui banyak keburukannya tetap menjadi masalah utama dalam kalangan masyarakat, terutamanya bagi golongan lelaki. Jumlah perokok aktif terus meningkat saban tahun sekali gus menyumbang kepada peningkatan drastik jumlah penghidap penyakit barah paru-paru. Hal ini berkait rapat dengan pengaruh persekitaran termasuklah dalam kalangan ahli kelurga sendiri. Ibu bapa yang merokok di hadapan anak-anak menjadi antara asbab jelas peningkatan jumlah perokok muda. Anak-anak lebih mudah meniru perbuatan ibu bapa di rumah kerana ibu bapa sepatutnya menjadi suri teladan hidup anak-anak mereka. Sudah terang lagi bersuluh, pengaruh persekitaran seperti ahli keluarga yang merokok merupakan punca meningkatnya tabiat merokok, sekali gus meningkatnya jumlah pesakit kanser paru-paru.
Selain itu, jumlah kes kanser paru-paru yang terus meningkat turut disebabkan oleh pencemaran udara atau pendedahan terhadap bahan kimia secara berterusan. Sebagai organ yang memikul tanggungjawab besar dalam proses pernafasan, paru-paru yang terdedah kepada udara yang tercemar dalam jangka masa yang panjang amat mudah dijangkiti sel kanser. Sebagai contoh, udara yang tercemar dengan asap kenderaan dan bahan kimia industri mampu melumpuhkan fungsi paru-paru jika dihidu dalam kuantiti yang banyak atau dalam satu tempoh yang lama. Hal ini berlaku kerana udara yang tercemar mengandungi pelbagai bahan beracun yang mampu merosakkan fungsi paru-paru. Jelaslah, pendedahan berpanjangan kepada udara yang tercemar akan menyebabkab kanser paru-paru.
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Peribahasa ini amat sesuai dijadikan pedoman kepada perokok-perokok supaya berhenti merokok dan mula mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana risiko menghidap kanser boleh dielakkan dan kehidupan yang lebih sejahtera dapat dicapai sekiranya tabiat yang tidak baik seperti merokok dapat ditinggalkan. Paru-paru yang bebas daripada bahan beracun akan menjadi lebih sihat dan tubuh juga akan lebih segar. Gaya hidup yang lebih sihat dan bebas nikotin perlu menjadi amalan dalam hidup seharian supaya perokok tidak lagi kembali untuk menghisap rokok. Oleh itu, risiko untuk menghidap barah paru-paru dapat dielakkan sekali gus menjadikan kita lebih sihat.
Akhir sekali, barah paru-paru juga boleh diatasi dengan mengamalkan pemakanan yang sihat. Mengambil makanan yang bergizi dan seimbang dalam menu harian amatlah dituntut untuk memastikan tubuh kekal sihat dan mendapat segala nutrien yang diperlukan. Misalnya, makanan yang diambil hendaklah meliputi pelbagai jenis nutrien seperti karbohidrat, vitamin, protein dan serat agar kesihatan yang lebih berkualiti dapat dicapai. Tubuh yang sihat akan menjadi perisai diri yang paling ampuh daripada dijangkiti oleh barah. Hal ini turut disokong oleh sikap positif seperti menjauhi asap rokok dengan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam. Impaknya, kita akan dapat memelihara kesihatan diri daripada dijangkiti oleh barah paru-paru.
Kesimpulannya, barah paru-paru boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja, tidak kiralah anda seorang perokok ataupun bukan. Namun begitu, penyakit ini boleh dicegah dengan pebagai cara jika semua pihak berganding bahu dalam usaha mengatasinya. Hal ini dikatakan amat penting untuk dibenakan agar kita dapat melahirkan masyarakat yang bebas daripada barah paru-paru.
0 comments:
Post a Comment