Sukan ekstrem merupakan salah satu cabang sukan yang menguji ketahanan minda dan fizikal penggemarnya. Bagi mereka yang suka mencabar kemampuan diri, sukan ekstrem dikatakan memberi kepuasan yang tidak didapati daripada aktiviti-aktiviti sukan yang biasa. Dalam hal ini, rasa takut dan gentar kini diukur dengan kesanggupan dan keberanian untuk melakukan aktiviti yang mencabar walaupun dianggap sangat berbahaya, bak peribahasa berani tak hilang, berani tak mati. Di Malaysia, sukan ekstrem seperti kayak jeram dan luncur udara mula mendapat perhatian masyarakat, namun masih belum ramai yang bersedia dan berani untuk melakukannya terutamanya dalam kalangan remaja. Banyak faktor penyebab yang boleh disingkap dan ditilik tentang perkara ini padahal sukan ekstrem dikhabarkan memberi banyak faedah dan manfaat kepada penggemarnya.
Antara punca sukan ekstrem masih kurang popular dalam kalangan remaja ialah faktor risiko kemalangan yang tidak dapat dijangka semasa melakukan aktiviti tersebut. Aktiviti sukan ekstrem yang sinonim dengan cabaran dan kelainan ini ada kalanya memerlukan penggemarnya melakukan aksi atau tindakan yang berbahaya seperti terjun dari tempat yang tinggi, sesuatu yang mungkin tidak terlintas dalam fikiran orang-orang biasa. Pada tahun 2022, seorang gadis berasal dari Perancis telah maut ketika melakukan aktiviti terjunan udara selepas payung terjunnya gagal terbuka. Walaupun gadis berusia 23 tahun tersebut merupakan seorang penerjun profesional dan telah melakukan lebih daripada 100 terjunan, risiko kemalangan yang tidak dijangka tetap boleh berlaku. Hal ini menyebabkan sukan ekstrem bukan pilihan bagi sesetengah pihak. Bak bergantung di rambut sehelai, sukan ekstrem kurang popular dalam kalangan remaja kerana dianggap sebagai aktiviti yang membahayakan keselamatan nyawa.
Selain itu, apabila bercerita tentang sukan ekstrem, kita tidak boleh tidak mengambil kira aspek kecederaan dan kecacatan kekal akibat kemalangan semasa melakukan aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana sukan ekstrem dilakukan dengan menguji kemampuan kardiovaskular tubuh seseorang dan juga keberanian seseorang menyahut cabaran untuk melakukan aksi berbahaya. Perkara ini akan berakhir dengan kemalangan jika aspek-aspek keselamatan tidak ditekankan, malah kemalangan boleh sahaja berlaku hanya kerana anda tidak bernasib baik pada hari tersebut. Sebagai contoh, atlet berbasikal bukit negara, Muhammad Aidil Taufed Afendi cedera parah dan hilang ingatan kerana kepalanya terhempas setelah terlibat dalam kemalangan ketika latihan. Beliau bernasib baik kerana telah pulih selepas menjalani rawatan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat atlet yang tidak bernasib baik dan mengalami kecacatan kekal seumur hidup selepas tercedera. Faktor ini menjadi asbab peting sukan ekstrem masih kurang menambat hati golongan remaja.
Seterusnya, faktor kos yang tinggi dan alat kelengkapan yang sukar diperoleh dalam negara turut menjadi sebab sukan ekstrem kurang popular bagi remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana sukan ekstrem biasanya memerlukan alatan tertentu yang mahal dan kemudahan tersendiri yang tidak dapat menggunakan lapangan sukan yang biasa. Misalnya, sukan ekstrem "motorcross" menggunakan motosikal berkuasa tinggi dengan spesifikasi jentera yang kompleks serta litar lumba yang khas. Perkara ini menyebabkan kos pengendaliannya sangat tinggi selain memerlukan kos penyelenggaraan yang besar untuk litarnya. Ada juga alatan-alatan sukan yang tidak dijual di dalam negara dan terpaksa diimport dari luar negara. Oleh itu, golongan remaja yang kebanyakannya mempunyai sumber kewangan yang terhad tidak berpeluang atau tidak berminat untuk menyertai sukan ini. Jelaslah, faktor kos dan kesukaran mendapatkan alatan sukan menjadi asbab sukan ekstrem masih dipandang dengan sebelah mata.
Akhir sekali, perkembangan teknologi maklumat di seluruh dunia telah menyaksikan perubahan landskap dalam pelbagai bidang dan aspek kehidupan manusia. Hal ini turut mempengaruhi pilihan dan kecenderungan generasi sekarang yang lebih mesra teknologi termasuklah segala bentuk kemajuan dalam bidang tersebut. Kemunculan sukan elektronik (e-sukan) bagaikan fenomena cendawan tumbuh selepas hujan sejak 5 tahun kebelakangan ini terus menggugat kerelevenan sukan fizikal, terutamanya sukan ekstrem. Sebahagian besar remaja dunia lebih gemar meluangkan masa berada di rumah bermain pelbagai jenis e-sukan berbanding keluar dari rumah. Keadaan ini dipengaruhi oleh kemajuan teknologi permainan yang pesat seiring dengan capaian internet yang diperluas. Selain lebih fleksibel kerana boleh dimainkan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, e-sukan bagaikan pilihan tepat bagi remaja berbanding sukan ekstrem kerana e-sukan tidak memerlukan kos yang tinggi, selamat dan bebas daripada risiko kecederaan. Uslub ini tidak dapat lagi disangkal sebagai penyebab sukan ekstrem terus terpinggir dari pilihan remaja.
Intihanya, sukan ekstrem belum berjaya bertapak dalam kalangan remaja sungguhpun diuar-uarkan sebagai salah satu aktiviti yang memberi banyak manfaat kepada penggemarnya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan hendaklah bertindak proaktif dengan menyediakan dan membangunkan infrastruktur yang mendukung usaha ke arah kemampanan sukan ekstrem di negara. Hal ini demikian kerana sukan ekstrem mampu memberi saingan kepada e-sukan di samping melahirkan generasi yang lebih sihat. Jadi, bagai menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak berserak, peranan agensi kerajaan dalam mengimbangi pilihan ini amat penting supaya dapat mengubah persepsi remaja terhadap sukan fizikal seperti sukan ekstrem. Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah manfaatnya dapat dirasai oleh golongan remaja.
0 comments:
Post a Comment