Blogroll

Monday, December 20, 2021

KARANGAN CONTOH 11 : LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PERPADUAN KAUM

BY Eppy Sensei IN No comments


Malaysia merupakan sebuah negara kecil yang memiliki rentetan sejarah dan kebudayaan yang sangat unik. Rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang telah mewujudkan populasi masyarakat majmuk yang hidup bersatu padu. Perpaduan kaum yang dicapai hingga kini telah dipupuk melalui pelbagai langkah signifikan.

        Antara langkah memupuk perpaduan kaum dalam kalangan rakyat ialah generasi muda perlulah dibentuk dan diolah mengikut acuan kebangsaan sejak kecil lagi. Untuk merealisasikan perkara ini, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberi didikan awal kepada anak-anak mereka. Menghormati perbezaan dan meraikan persamaan merupakan salah satu panduan yang perlu dibentuk dalam diri anak-anak supaya mereka dapat hidup berharmoni dengan orang lain. Impaknya, benih-benih perpaduan sudah dapat ditanam dalam diri generasi muda oleh ibu bapa sejak kecil lagi, bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya."

        Selain itu, institusi pendidikan awal seperti sekolah memegang tanggungjawab besar dalam usaha membentuk masyarakat yang bersatu padu, selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sekolah seharusnya menjadi tapak semaian yang subur bagi menumbuhkan rasa saling menghormati dan mencambahkan nilai kebersamaan dalam kalangan pelajar. Perkara ini boleh disiram serta dibaja dengan penganjuran pelbagai aktiviti berkumpulan seperti sukan tahunan, RIMUP, perkhemahan dan sebagainya. Hasilnya, usaha untuk memahami dan menghormati orang lain akan dapat dipupuk melalui interaksi merentasi perbezaan kaum, kebudayaan dan bahasa yang berlaku.

        Di samping itu, penganjuran program kemasyarakatan juga dilihat merupakan wahana yang efektif bagi memupuk semangat perpaduan kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui penganjuran program kemasyarakatan seperti program gotong-royong, karnival dan aktiviti sukan, masyarakat setempat berpeluang untuk mengambil bahagian serta bertemu dengan jiran-jiran mereka. Ketika itulah proses saling mengenal dan menjalin persefahaman akan berlaku dengan giat dalam kalangan peserta yang hadir. Jelaslah, penganjuran aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat mampu menyemarakkan semangat perpaduan kaum.

        Akhir sekali, usaha perdana untuk memupuk perpaduan kaum dalam kalangan rakyat mestilah ditunjangkan oleh kerajaan sebagai pemimpin. Hal ini amat penting kerana kerajaan mempunyai sumber dan dana yang mencukupi untuk merangka pelbagai perancangan serta tindakan yang perlu bagi mencapai hasrat untuk menyatupadukan rakyat. Kempen berkaitan agenda nasional perlu diadakan secara berterusan dengan memanfaatkan kemudahan media massa yang ada seperti radio, televisyen, media elektronik dan portal-portal digital, termasuklah media sosial. Kesannya, agenda nasional untuk menyemarakkan perpaduan kaum akan sampai dan dapat ditebarkan ke seluruh pelosok pengetahuan rakyat dengan cara yang lebih cekap.
        
        Kesimpulannya, usaha untuk memupuk semangat perpaduan kaum bukanlah satu kerja yang mudah dan boleh dilakukan oleh sebelah pihak sahaja. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu demi merealisasikan semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk. Perkara ini penting untuk dicapai agar keharmonian yang kita nikmati sekarang dapat dikekalkan buat generasi akan datang.

0 comments:

Post a Comment