Blogroll

Thursday, June 9, 2022

KARANGAN CONTOH 12 : SIKAP PENGGUNA JALAN RAYA PUNCA KEMALANGAN BERLAKU

BY Eppy Sensei IN No comments

 

https://sites.ndtv.com/roadsafety/fortunate-alive-dreads-stepping-home-road-accident-victim-2233/
Kemalangan maut - Gambar hiasan


            Tahukah anda bahawa pada tahun 2019 sahaja, kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan di Malaysia berjumlah lebih setengah juta kes? Perkara ini sering dikaitkan dengan pelbagai punca dan sebab, terutamanya sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Terdapat beberapa sikap pengguna jalan raya yang telah menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.

          Antara sikap pengguna jalan raya yang paling kerap menjadi punca kemalangan jalan raya berlaku adalah memandu di bawah pengaruh bahan-bahan terlarang. Hal ini dikatakan demikian kerana pemandu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang tidak dapat mengendalikan kenderaan mereka dengan baik dan waras. Sebagai contoh, terdapat pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah atas sebab pelbagai alasan yang tidak masuk akal. Perkara ini terbukti telah banyak menjadi punca kemalangan maut berlaku sehingga kini.

         Selain itu, sikap tidak bertimbang rasa serta kurang sabar juga merupakan salah satu punca catatan jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi di negara kita. Pengguna jalan raya yang bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain akan menjadi punca kemalangan walaupun pengguna yang lain sudah berhati-hati. Tamsilnya, sesetengah pengguna jalan raya suka berlumba sesama sendiri dan memotong kenderaan lain secara berbahaya. Natijahnya, malang tidak berbau, kemalangan jalan raya akan berlaku dalam sekelip mata. 

       Di samping itu, kemalangan jalan raya berlaku apabila peraturan dan undang-undang jalan raya tidak dipatuhi. Sebagai pengendali kenderaan, kita sepatutnya mematuhi setiap peraturan dan undang-undang jalan raya yang sedia ada untuk menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. Namun begitu, sehingga bulan April 2022 sahaja, dilaporkan bahawa sebanyak 45973 kompaun telah dikeluarkan kepada pengguna kerana melanggar isyarat lampu merah, manakala 10355 buah kenderaan direkodkan telah melanggar had laju yang telah ditetapkan di lebuh raya. Angka yang tinggi ini menunjukkan bahawa sikap pengguna yang tidak patuh kepada peraturan jalan raya mampu mencetuskan kemalangan.

          Akhir sekali, ada dalam kalangan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motorsikal suka memakai pakaian berwarna gelap. Hal ini menyebabkan pengguna jalan raya yang lain sukar melihat keberadaan mereka apatah lagi pada waktu malam atau di tempat yang gelap. Memakai pakaian dan kelengkapan berwarna hitam memang kelihatan menarik dan bergaya, namun keadaan itu hanya menambahkan risiko kemalangan jalan raya. Oleh itu, penunggang motorsikal seharusnya memakai pakaian yang cerah supaya mereka mudah dilihat oleh pengendali kenderaan yang lain.

           Kesimpulannya, sikap pengguna jalan raya sendiri boleh menjadi salah satu penyumbang kepada jumlah kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya sepatutnya bersikap lebih bertanggungjawab dan mematuhi semua peraturan jalan raya kerana sikap sebaliknya pasti akan mengundang padah, bak aforisme Melayu, seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit. Perkara ini amat penting untuk dilaksanakan agar jumlah kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

0 comments:

Post a Comment