Blogroll

Friday, March 22, 2024

KARANGAN CONTOH 29 : FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB OBESITI

BY Eppy Sensei IN , , No comments

 


    Tahukah anda, 15% daripada kanak-kanak berusia 12 hingga 19 tahun di Malaysia mempunyai masalah berat badan dan kegemukan? Statistik ini amatlah membimbangkan kerana masalah obesiti mendatangkan pelbagai risiko penyakit kronik yang mampu mengancam nyawa. Terdapat beberapa faktor penyebab yang menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kita.

    Pertama, berat badan akan bertambah sekiranya kita makan lebih banyak makanan berkalori tinggi berbanding jumlah kalori yang dapat dibakar oleh tubuh kita. Kalori yang diambil secara berlebihan akan disimpan di dalam tubuh sebagai lemak. Jika keadaan ini berterusan dalam suatu tempoh yang lama, berat badan akan bertambah dan menyebabkan masalah kegemukan. Jelaslah, pengambilan makanan berkalori tinggi perlahan-lahan akan meningkatkan risiko obesiti kepada kita.

    Selain itu, berat badan kita akan bertambah sekiranya kita kurang melakukan aktiviti fizikal atau bersenam. Hal ini dikatakan demikian kerana tubuh kita akan membakar lemak berlebihan yang terkumpul di dalam badan dan membuangnya melalui proses perpeluhan apabila membuat aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal seperti senaman secara berkala dan beriadah pada hujung minggu perlu dilakukan secara konsisten. Kesannya, kita akan rasa lebih sihat dan bebas daripada risiko penyakit obesiti.

    Seterusnya, tabiat pemakanan yang tidak sihat merupakan antara punca yang vital kepada peningkatan masalah obesiti, terutamanya dalam kalangan masyarakat moden. Masyarakat bandar yang bekerja dalam tempoh masa yang lama lebih cenderung untuk mengambil makanan segera untuk menjimatkan masa. Sebagai contoh, restoran makanan segera yang dapat menyediakan makanan dalam tempoh masa yang singkat seperti McDonald dan KFC menjadi pilihan ramai ibu bapa untuk dihidangkan kepada anak-anak. Impaknya, kanak-kanak akan mengalami masalah kegemukan sejak usia muda.

    Akhir sekali, masalah berat badan berlebihan juga boleh berpunca daripada faktor genetik dalam sesebuah keluarga. Faktor ini mungkin tidak dapat dielakkan oleh kebanyakkan orang dan menyebabkannya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan obesiti dalam keluarga, malah akan wujud juga rangkaian penyakit lain seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi. Oleh itu, kita hendaklah mendapatkan nasihat dan rawatan pakar untuk meningkatkan kualiti hidup kita.

    Kesimpulannya, semua pihak terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membantu mengurangkan risiko obesiti dalam kalangan anak-anak. Kepentingan pengambilan makanan sihat perlu ditekankan sejak usia muda lagi. Hal ini amat penting untuk dilakukan agar kesedaran tentang peri pentingnya kesihatan diri dapat dipupuk, ibarat pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

0 comments:

Post a Comment