Blogroll

Saturday, January 13, 2024

KARANGAN CONTOH 27 : PETUA MENCAPAI KEJAYAAN

BY Eppy Sensei IN , , No comments

 

Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 1 : m/s 5


    Setiap orang mengimpikan kejayaan dalam hidup dan akan berusaha untuk mencapainya. Walaupun bermimpi adalah percuma, tanpa usaha dan perancangan, mimpi akan kekal menjadi angan-angan sahaja bak melempar pancing tiada berumpan. Oleh itu, terdapat beberapa petua yang boleh membantu kita untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.

    Pertama, kita perlulah mempunyai sasaran dan keinginan yang kuat untuk berjaya. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua perkara ini akan membantu kita dalam menetapkan tujuan serta membuat perancangan yang sepatutnya. Sebagai contoh, sebagai seorang pelajar, kita mestilah mempunyai sasaran yang ingin dicapai sebagai pendorong untuk kita mencapai kecemerlangan di sekolah. Hasilnya, sasaran yang datang bersama keinginan yang kuat pasti akan dapat membantu kita mencapai kejayaan.

    Selain itu, kita juga hendaklah sentiasa berdisiplin dalam kehidupan harian kita. Sikap ini amat penting untuk memastikan kita sentiasa fokus dalam mengerjakan setiap perkara dan mencapai apa sahaja yang kita inginkan. Disiplin diri yang tinggi terbukti telah menjadi amalan kebanyakan orang-orang yang telah mencapai kejayaan dalam hidup mereka, baik dalam pelajaran mahupun dalam semua perkara yang dilakukan. Jelaslah, disiplin diri yang tinggi membawa impak yang signifikan untuk membantu kita menjadi orang yang berjaya.

    Di samping itu, untuk mencapai kejayaan, kita haruslah mengetahui kemampuan dan potensi diri sendiri. Dalam usaha untuk mencapai kejayaan yang diinginkan, kita perlu sedar akan kemampuan kita termasuklah menerima segala kekurangan diri. Sikap positif ini akan membantu kita untuk lebih fokus merencanakan usaha untuk mencapai kejayaan. Sudah terang lagi bersuluh, mengetahui kemampuan dan potensi diri adalah salah satu uslub yang amat ampuh untuk dijadikan senjata kejayaan.

    Akhir sekali, kita diingatkan supaya selalu menjaga hubungan baik dengan orang di sekeliling kita, termasuklah menjaga hubungan dengan tuhan. Hal ini mungkin kecil dan tidak penting bagi sesetengah orang, namun kita tidak boleh menafikan kepentingannya. Sehebat manapun kita, kita tetap memerlukan bantuan orang lain apabila menghadapi sebarang masalah dan kesukaran, terutamanya daripada ibu bapa dan rakan-rakan kita. Bak aforisme Melayu "condong ditumpil, lemah dianduh", kita akan mudah untuk mendapatkan pertolongan saat dalam kesusahan jika kita mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang.

    Kesimpulannya, kita perlulah berusaha dengan gigih dan mengamalkan petua-petua berguna sebagai persiapan untuk memperoleh kejayaan dalam hidup. Hal ini bertepatan dengan peribahasa "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya", oleh itu, untuk mencapai kejayaan, kita perlulah berlapang dada dalam melakukan persiapan supaya kita dapat merealisasikan impian kita.


0 comments:

Post a Comment