Blogroll

Friday, January 26, 2024

KARANGAN CONTOH 28 : TEKNIK MENJAWAB KARANGAN PENDEK BAHAGIAN A KERTAS 2 MENENGAH RENDAH

BY Eppy Sensei IN , , No comments



TEKNIK MENJAWAB 1

    Telefon bimbit merupakan salah satu keperluan dalam hidup masyarakat sekarang kerana banyak kegunaannya. 
    Dengan telefon bimbit, kita dapat mengeratkan hubungan dan memudahkan komunikasi antara ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat berhubung walaupun kita berjauhan antara satu sama lain. Selain itu, telefon bimbit yang berjenama juga boleh dijadikan sebagai hadiah yang boleh digunakan untuk memudahkan urusan harian penggunanya. Akhir sekali, golongan pelajar boleh memanfaatkan telefon bimbit untuk belajar dengan mencari maklumat tambahan. Kemudahan capaian internet dan enjin carian seperti Google amat membantu pelajar.
    Kesimpulannya, telefon bimbit boleh memberi pelbagai manfaat kepada kita. 


TEKNIK MENJAWAB 2

    Aku sebuah telefon bimbit berjenama Samsung. Selepas dua bulan dipamerkan di dalam rak bercermin, seorang lelaki telah membeli aku sebagai hadiah untuk anaknya. Tuan baruku menggunakan aku untuk berkomunikasi dengan ibunya yang bekerja jauh di Dubai. Walaupun mereka berjauhan, aku berjaya mengeratkan hubungan mereka. Selain itu, tuan aku menggunakan aku untuk belajar dan meningkatkan pengetahuannya. Dia rajin mencari maklumat yang diperlukan melalui enjin carian Google. Dia sering memuji aku kerana aku memudahkan urusan hariannya. Dia menjaga aku dengan baik supaya aku tidak cepat rosak.


TEKNIK MENJAWAB 3

    Saya telah menyambut hari jadi yang ke-13 pada minggu lepas. Saya berasa sangat gembira kerana ibu memberi saya hadiah istimewa berupa sebuah telefon bimbit. Telefon itu berjenama Samsung dan berwarna hitam berkilat. Sejak mempunyai telefon bimbit, saya dapat berkomunikasi dengan abang saya yang berada di universiti pada setiap masa. Kata abang, telefon bimbit boleh membantu ahli keluarga mengeratkan hubungan jika digunakan dengan berhemah. Abang juga menasihati saya supaya memanfaatkan telefon bimbit untuk tujuan belajar. Abang telah mengajar saya cara mencari dan menapis maklumat menggunakan enjin carian Google. Saya berjanji akan menjaga telefon bimbit saya dengan sebaik mungkin.


 

0 comments:

Post a Comment