Blogroll

Thursday, October 1, 2026

KARANGAN CONTOH 38 : CARA-CARA MENCEGAH PENYAKIT KRONIK [MODUL GEMILANG SPM 2026]

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


Tahukah anda, penyakit kronik merupakan salah satu punca kematian tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia saban tahun? Penyakit tiga serangkai misalnya sering kali dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak sihat dan budaya pemakanan masyarakat. Oleh itu, terdapat beberapa cara mencegah penyakit ini yang boleh kita dibahaskan.

Pertama, kita hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan secara berkala. Cara ini bukan sahaja membolehkan kita mengetahui tahap kesihatan diri, malah dapat membantu mengesan penyakit kronik peringkat awal. Sebagai contoh, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan penyakit diabetes, risiko sakit jantung dan fungsi buah pinggang kita. Jelaslah, pemeriksaan kesihatan secara berkala membantu kita mencegah berlakunya penyakit pada peringkat awal agar tidak menjadi semakin kronik.

Seterusnya, kita juga perlulah mengamalkan pemakanan yang sihat demi mencegah penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan kes penyakit kronik berpunca daripada pola pemakanan yang tidak dijaga dan tidak seimbang. Kita sepatutnya menyediakan makanan berpandukan saranan piramid makanan dan mengamalkan pola suku suku separuh dalam setiap hidangan. Sudah terang lagi bersuluh, amalan pemakanan yang sihat merupakan kunci induk untuk mencegah diri kita daripada penyakit kronik. 

Kesimpulannya, penyakit kronik dapat dicegah di peringkat awal dengan pelbagai cara. Masyarakat haruslah bersikap lebih proaktif dan tidak mengabaikan aspek kesihatan diri. Langkah ini amat penting untuk ditekankan agar tahap kesihatan kita dapat ditingkatkan dan bebas daripada penyakit kronik.

                                                         [198 patah perkataan]


0 comments:

Post a Comment