Blogroll

Friday, January 5, 2024

KARANGAN CONTOH 26 : E-USAHAWAN MASA DEPAN - LANGKAH

BY Eppy Sensei IN , , No comments


Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 1, Muka Surat 153

    Hidup akan lebih mudah jika kita ada capaian Internet. Program seperti e-usahawan yang diselia oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) dapat mengubah hidup seseorang dengan adanya pengetahuan teknik digital sebenar. Terdapat beberapa langkah yang boleh dibuat bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan melalui kaedah digital ini.

    Antaranya, usahawan perlulah mahir menggunakan perkakasan teknologi dengan cara mengikuti latihan komputer. Hal ini amat penting memandangkan kemudahan komputer yang dilengkapi oleh capaian Internet boleh dimanfaatkan untuk melakukan promosi dan memperluas jaringan perniagaan. Sebagai contoh, usahawan boleh mengiklankan dan mempromosikan produk perniagaan mereka di Facebook, Instagram dan Blog. Jelaslah, usahawan akan dapat meningkatkan potensi perniagaan mereka jika mahir memanfaatkan teknologi, bak peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

    Selain itu, langkah yang tidak kurang signifikannya ialah usahawan perlulah sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan mereka supaya mampu bersaing dengan orang lain. Ilmu yang perlu dikuasai bukan sekadar tentang perniagaan dan dimensi pasaran, malah usahawan mestilah berpengetahuan tentang produk perniagaannya sendiri. Banyak ilmu boleh didapati secara percuma daripada pelbagai sumber dan media informasi bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kendiri. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, maka, usahawan hendaklah sentiasa berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan mereka.

    Di samping itu, usahawan perlulah bijak memanfaatkan media sosial sebagai wahana yang mampu mencapai pasaran yang lebih luas. Hal ini dikatakan demikian kerana media sosial menjadi nadi yang menghubungkan masyarakat dunia tanpa terikat dengan faktor jarak dan waktu. Melalui kemudahan promosi dan jualan secara siaran langsung yang kini semakin mendominasi pelantar media sosial, usahawan boleh berinteraksi secara terus dengan pelanggan mereka. Kesannya, bak serampang dua mata, kecekapan dan produktiviti dapat ditingkatkan, sekali gus dapat meluaskan lagi pasaran perniagaan.

    Akhir sekali, pihak kerajaan dengan kerjasama pihak berkaitan boleh memainkan peranan dengan menyediakan kemudahan capaian internet ke seluruh negara. Langkah ini seiringan dengan aspirasi melahirkan lebih ramai usahawan digital masa depan. Dengan adanya jaringan internet yang pantas, urusan perniagaan khususnya perkhidmatan perbankan akan menjadi lebih lancar dan selamat. Peranan kerajaan juga ditagih bagi memastikan urus niaga yang selamat dan mematuhi undang-undang dapat dilaksanakan. Oleh itu, capaian internet yang pantas merupakan tunjang kepada usaha mengembangkan potensi e-usahawan di seluruh negara.

    Kesimpulannya, e-usahawan sangat berpotensi untuk dikembangkan dan dapat memberi peluang kepada individu untuk memajukan perniagaan. Semua pihak juga haruslah bekerjasama dalam memastikan persekitaran perniagaan secara digital yang selamat dapat diwujudkan supaya kejayaan masa depan dapat dicapai.

0 comments:

Post a Comment