Blogroll

Saturday, October 21, 2023

KARANGAN CONTOH 24 : PERANAN IBU BAPA MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

BY Eppy Sensei IN , , , No comments

 


            Menurut beberapa kajian, rakyat Malaysia masih tergolong dalam kalangan masyarakat yang malas membaca dengan purata tempoh bacaan kurang daripada tiga jam seminggu. kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi perkara ini, termasuklah berkempen untuk memberi lebih kesedaran tentang pentingnya peranan masyarakat untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai amalan, terutamanya kepada golongan ibu bapa. Oleh itu, terdapat beberapa peranan ibu bapa untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak mereka.

           Antaranya, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang mithali kepada anak-anak ketika di rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai orang dewasa yang paling dekat, anak-anak kerap meniru perbuatan harian ibu bapa mereka. Ibu bapa seharusnya menunjukkan nilai dan sikap yang baik seperti menjadikan aktiviti membaca sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang di rumah dan mengajak anak-anak ikut serta. Kesannya, anak-anak akan menjadikan aktiviti membaca sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan harian mereka, bak peribahasa Melayu, bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

            Selain itu, ibu bapa juga boleh meningkatkan minat membaca dalam kalangan anak-anak dengan mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Hal ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk menyediakan bahan bacaan terpilih mengikut kesesuaian dan peringkat umur anak-anak. Misalnya, ruang bacaan berdekorasi menarik dan selesa boleh dimuatkan dengan pelbagai bahan bacaan seperti buku cerita, majalah, komik, ensiklopedia bergambar dan sebagainya. Bak aforisme dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, usaha ini pasti akan dapat menambat hati anak-anak untuk lebih menyukai aktiviti membaca.

            Di samping itu, peranan lain yang boleh direalitikan oleh ibu bapa adalah meluangkan masa untuk membawa anak-anak melawat perpustakaan awam dan expo buku. Melalui aktiviti ini, ibu bapa boleh mendedahkan pelbagai jenis bahan bacaan yang bermanfaat kepada anak-anak selain dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama. Anak-anak juga berpeluang untuk memilih sendiri bahan bacaan yang digemari mengikut selera dan minat masing-masing dengan pantauan serta nasihat daripada ibu bapa. Intihanya, bahan bacaan yang menepati cita rasa pasti akan dapat meningkatkan lagi minat anak-anak terhadap aktiviti membaca.

            Akhir sekali, ibu bapa perlulah menyokong pelaksanaan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang diperkasakan di peringkat sekolah. Ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dan merumuskan hasil bacaan untuk direkodkan dalam sistem NILAM secara berterusan dengan pelbagai cara yang dirasakan berkesan serta bermanfaat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan sistem ganjaran dan hadiah sebagai perangsang kepada anak-anak agar terus mengamalkan aktiviti menbaca buku pada bila-bila masa, di mana juga mereka berada. Jelaslah, sokongan ibu bapa mampu menjadikan anak-anak lebih tekal untuk mengamalkan aktiviti bacaan dalam kehidupan.

            Kesimpulannya, ibu bapa memegang tanggungjawab yang signifikan dalam usaha menanam akar suka akan membaca sebagai amalan dalam kehidupan anak-anak. Ibu bapa perlulah sentiasa kreatif dalam mencari dan mempelbagaikan cara untuk memastikan anak-anak lebih rajin untuk membaca buku. Usaha ini amat penting untuk dilaksanakan agar generasi berilmu pengetahuan dapat dilahirkan, sekaligus menjadikan golongan muda lebih minat membaca.           

0 comments:

Post a Comment