SOALAN : Keluarga yang bahagia menjadi idaman setiap orang. Huraikan tanggungjawab ibu bapa dan anak-anak untuk merealisasikan impian sebuah keluarga yang bahagia.
CONTOH JAWAPAN
Dalam mendepani dunia yang kian mencabar, semua orang memerlukan sebuah keluarga bahagia dan harmoni untuk sentiasa bersama mereka. Setiap ahli keluarga seharusnya saling menyokong dan membantu dalam menyelesaikan konflik yang dihadapi. Oleh itu, terdapat beberapa tanggungjawab ibu bapa dan anak-anak yang perlu dilaksanakan untuk merealisasikan impian memiliki sebuah keluarga yang bahagia.
Antaranya. ibu bapa perlulah meluangkan lebih banyak masa mereka untuk bersama dengan anak-anak. Hal ini demikian kerana meluangkan masa santai dengan berkualiti bersama anak-anak akan dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersiar-siar, menonton televisyen dan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama. Dengan ini, ibu bapa akan dapat membina rasa kebersamaan dan peri pentingnya keluarga dalam diri anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa juga perlu menjadi rakan baik dan bersedia untuk mendengar segala permasalahan anak-anak. Hal ini sangat penting kerana jika ibu bapa dapat menambat hati anak-anak mereka, keadaan tersebut akan dapat mengelakkan sebarang salah faham dan akan mengukuhkan rasa percaya. Ibu bapa dan anak-anak bolehlah saling membantu dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kesannya, pasti impian untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni dapat dijadikan kenyataan.
Di samping itu, anak-anak juga berperanan penting dalam keluarga dengan membantu meringankan beban ibu bapa di rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa telah kepenatan selepas pulang bekerja setiap hari untuk mencari pendapatan. Anak-anak boleh membantu meringankan tugas ibu bapa dengan melakukan kerja rumah, membantu menguruskan adik-beradik dan diri sendiri serta menyenangkan hati ibu bapa. Jelaslah, anak-anak juga bertanggungjawab dalam usaha mencapai hasrat untuk mewujudkan sebuah keluarga harmoni.
Akhir sekali, anak-anak juga perlulah mengamalkan nilai-nilai baik dan menghormati ibu bapa mereka. Sikap ini bukan sahaja akan membanggakan dan menyenangkan hati mana-mana ibu bapa, malah turut akan dapat mengharmonikan keluarga. Sebagai contoh, anak-anak perlu meminta izin sebelum keluar dari rumah, menyapa ibu bapa dengan bahasa yang sopan dan bersalaman sebelum pergi atau ketika pulang dari sekolah. Tuntasnya, amalan nilai murni terutamanya sikap saling menghormati akan dapat memupuk keharmonian dalam sesebuah keluarga.
Kesimpulannya, ibu bapa dan anak-anak mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi mencapai impian murni untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni. oleh itu, kesedaran terhadap tanggungjawab masing-masing dalam diri setiap ahli keluarga amat penting supaya segala konflik dan masalah yang menggugat keharmonian keluarga dapat diatasi bersama-sama.
0 comments:
Post a Comment