Blogroll

Wednesday, October 21, 2020

BM PT3 KARANGAN CONTOH 5 : SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI - CARA KELUARGA MENGISI MASA LAPANG

BY Eppy Sensei IN No comments

 


SOALAN : Anda telah menerima sepucuk surat daripada sahabat pena anda yang berada di luar negeri. Dalam surat tersebut, sahabat anda telah meminta anda bercerita tentang cara-cara keluarga anda mengisi masa lapang bersama-sama. Balas surat sahabat anda itu selengkapnya.

CONTOH JAWAPAN

No. 114, Jalan Astakona 18,
Taman Sejinjang Selatan,
81120 Johor Bahru, 
Johor Darul Takzim.
 

25 Ogos 2020


            Menemui sahabatku, Alisa yang berada jauh di Perlis. Semoga saudari dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera. Saya dan keluarga saya di sini sihat-sihat sahaja. Surat kiriman saudari yang bertarikh 10 Ogos sebenarnya telah selamat saya terima pada minggu lepas. Saya memohon maaf kerana lambat membalas surat tersebut kerana saya terlalu sibuk dengan persiapan untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. 

Saudari,

            Dalam surat tersebut, saudari meminta saya menceritakan cara-cara keluarga saya mengisi masa lapang bersama-sama. Benar, meluangkan masa bersama-sama akan memberi seribu satu manfaat dan kebaikan kepada setiap ahli keluarga. Oleh itu, saya akan menunaikan permintaan saudari dalam warkah saya kali ini. 

            Pada waktu lapang, ahli keluarga saya biasanya memilih untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama berbanding daripada menghabiskan waktu sendirian. Setiap kali hujung minggu tiba, ayah membawa kami ke taman rekreasi untuk melakukan pelbagai aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan kami. Antara aktiviti yang kerap kami lakukan adalah berjoging, berbasikal dan bersiar-siar menikmati angin petang sambil berkelah di padang yang menghijau. Dengan ini, kami bukan sahaja dapat meluangkan masa lapang bersama, malah dapat menyihatkan tubuh badan juga.

            Selain itu, ayah saya juga gemar membawa kami sekeluarga meluangkan masa dengan pergi melancong dalam negara, terutamanya ketika cuti umum. Apabila bercuti ke tempat lain, kami dapat menimba banyak pengetahuan baharu, bak kata ayah, jauh perjalanan, luas pengalaman. Sebagai contoh, saya dan keluarga lebih memahami sejarah Kesultanan Melayu Melaka selepas melawat pelbagai tempat bersejarah di negeri Melaka. Oleh itu, keluar melancong seakan-akan sudah menjadi seperti acara tahunan bagi keluarga saya untuk meluangkan masa bersama-sama. 

            Di samping itu, salah satu aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap kali musim cuti persekolahan tiba ialah kami sekeluarga pulang ke kampung ibu saya di Sarawak. Hal ini dikatakan demikian kerana kami berpeluang untuk memanfaatkan masa cuti dengan bertemu datuk dan nenek yang dirindui serta ahli keluarga yang sangat jarang bersua muka. Semua sepupu saya akan berkumpul di rumah datuk dan kami bermain pelbagai permainan tradisional sambil berbual-bual tentang pelbagai topik yang dirasakan menarik. Tuntasnya, masa terluang akan jadi lebih bermakna apabila dihabiskan untuk mendekati ahli keluarga yang jauh.

             Akhir Sekali, kami sekeluarga juga kerap memanfaatkan masa terluang dengan melakukan gotong-royong di rumah kami. Orang yang paling sibuk pastinya ibu saya kerana beliau akan merancang dan membahagikan tugas-tugas yang ada kepada kami. Biasanya, adik-adik dan ayah akan membersihkan kawasan di luar rumah, manakala saya membantu ibu mengemas bahagian di dalam rumah. Walaupun semua orang kepenatan selepas melakukan gotong-royong tersebut, kami sangat berpuas hati kerana dapat menikmati masa bersama-sama dengan lebih berkualiti. 

            Kesimpulannya, masa lapang perlulah dinikmati dan dimanfaatkan secara maksimum bersama ahli keluarga kita. Namun begitu, kata sepakat perlu dicapai setiap kali sebelum melakukan sebarang aktiviti supaya setiap orang mendapat kebaikan seperti yang diharapkan. 

Saudari, 

            Rasanya sampai di sini sahaja dahulu coretan tinta saya. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam warkah yang lain. Surat balasan daripada saudari sudah pasti akan saya tunggu. Sampaikan salam saya kepada keluarga saudari. sekian, terima kasih.

Yang Benar,  

Peggy Siew 


0 comments:

Post a Comment