Blogroll

Saturday, October 17, 2020

BM PT3 KARANGAN CONTOH 3 : KESAN-KESAN KES PENDERAAN KANAK-KANAK

BY Eppy Sensei IN No comments

 


SOALAN : Kes penderaan kanak-kanak sering menjadi polemik dalam kalangan masyarakat, baik di media massa atau di kedai-kedai kopi. Mengejutkan lagi, sebahagian besar kes penderaan ini dilakukan oleh ibu bapa sendiri. Bincangkan kesan-kesan penderaan terhadap kesihatan fizikal dan psikologi kanak-kanak.

CONTOH JAWAPAN

        Tahukah anda, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2019, sebanyak 39 peratus kes penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan di negara kita melibatkan ibu kandung sendiri? Perkara ini sudah menjadi polemik dan topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat di negara kita. walau apapun puncanya, penderaan akan mendatangkan pelbagai kesan kepada kesihatan fizikal dan psikologi kanak-kanak.

           Kanak-kanak yang telah menjadi mangsa penderaan secara fizikal akan menanggung kecederaan yang serius pada tubuhnya. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak kes penderaan yang dilaporkan adalah melibatkan penggunaan objek keras dan tumpul sebagai senjata. Mangsa dera ditampar, disepak dan dipukul menggunakan rotan, kayu serta tali pinggang oleh ibu bapa mereka sendiri. Kesannya, perbuatan kejam tersebut bukan sahaja mencederakan tubuh kanak-kanak secara luaran, malah merosakkan fungsi organ dalaman juga.

            Selain itu, sikap tidak berperikemanusiaan ini turut akan mendatangkan kesan yang lebih serius iaitu kanak-kanak akan mengalami kecacatan kekal pada anggota badan. Tubuh kanak-kanak yang masih kecil pasti tidak akan dapat menahan impak penderaan fizikal oleh orang dewasa ke atas mereka. Ada dalam kalangan mangsa dera menjadi buta, tempang dan tidak dapat meneruskan hidup seperti kanak-kanak yang seusia dengan mereka. Tuntasnya, sikap segelintir ibu bapa yang ibarat kera mendapat bunga harus dihentikan kerana akan membahayakan nyawa anak-anak mereka.

            Di samping itu, mangsa dera turut menghadapi kesan langsung secara psikologi iaitu trauma yang berpanjangan. kejadian dera akan menjadi mimpi buruk yang sentiasa membayangi mereka di mana-mana sahaja mereka berada. Mereka akan sentiasa dalam keadaan ketakutan apabila bertemu dengan orang dewasa dan tidak dapat bergaul secara normal seperti kanak-kanak yang lain. Jelaslah, penderaan kanak-kanak akan mempengaruhi emosi dan tindak balas kanak-kanak terhadap persekitaran secara psikologi. 

             Akhir sekali, menghadapi tekanan perasaan dan cenderung untuk mencederakan diri sendiri juga merupakan kesan lain penderaan kepada psikologi kanak-kanak. Lebih membimbangkan lagi, kecenderungan mencederakan diri ini kadang-kala bermatlamat untuk membunuh diri. Kejadian cubaan membunuh diri seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang didera oleh ayah kandungnya pernah dilaporkan oleh media tempatan tidak lama dahulu. Hal ini membuktikan bahawa penderaan akan meningkatkan risiko tekanan perasaan dan kecenderungan untuk mencederakan diri dalam kalangan mangsa dera. 

                Kesimpulannya, pihak kerajaan haruslah mengembleng tenaga bersama badan bukan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran secara holistik dalam kalangan masyarakat tentang isu ini. Ibu bapa perlulah didedahkan dengan tanggungjawab dan kemahiran mengendalikan tekanan melalui kempen berkaitan dan peranan agensi kerajaan supaya keganasan dan kes penderaan terhadap kanak-kanak dapat dihentikan. 




0 comments:

Post a Comment