Blogroll

Friday, October 23, 2020

BM PT3 KARANGAN CONTOH 6 : KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TELEFON PINTAR KEPADA PELAJAR

BY Eppy Sensei IN No comments


SOALAN : Nomofobia merupakan perasaan takut yang dialami oleh seseorang untuk hidup tanpa telefon pintar. Perkara ini boleh membawa pelbagai implikasi dalam kehidupan seharian kita. Berikan pendapat anda tentang kebaikan dan keburukan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar.

CONTOH JAWAPAN

        Pada era globalisasi kini, penggunaan telefon pintar sudah menjadi salah satu kebiasaan dan sebahagian keperluan dalam kehidupan masyarakat. Bagi mendepani cabaran alaf ke-21, pelajar juga tidak ketinggalan dengan memanfaatkan kemudahan telefon pintar untuk pelbagai tujuan. Sungguhpun penggunaan telefon pintar akan mendatangkan seribu satu kebaikan, penyalahgunaannya pula membawa kesan sebaliknya. 

     Antara kebaikan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar ialah pelajar mudah mendapatkan maklumat tambahan yang diperlukan untuk pelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya sambungan Internet, telefon pintar menghidangkan pelbagai pengetahuan merentasi sempadan jarak dan waktu yang boleh diakses pada setiap masa. Sebagai contoh, pelajar boleh mencari maklumat tentang isu-isu semasa, contoh-contoh karangan dan soalan latih tubi yang dimuat naik oleh orang lain di laman blog pembelajaran. Tuntasnya, pelajar dapat mengakses pelbagai maklumat yang diperlukan melalui telefon pintar dengan adanya sambungan Inetrnet.

        Selain itu, penggunaan telefon pintar juga dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk berinteraksi secara aktif dengan ahli keluarga dan rakan-rakan tanpa perlu bersemuka. Pada zaman sekarang, kebanjiran pelbagai aplikasi menarik yang menawarkan pelbagai kemudahan untuk berkomunikasi secara percuma telah menjadi pilihan pelajar untuk berinteraksi dengan ibu bapa dan adik-beradik walau di mana mereka berada. Aplikasi seperti Whatsapp, Telegram, Line dan Wechat digunakan oleh sebahagian besar golongan pelajar pada setiap hari untuk berhubungan. Impaknya, hubungan renggang antara ahli keluarga dan rakan-rakan dapat eratkan, malah segala maklumat dan berita boleh disebar dan diketahui dengan lebih pantas. 

     Ironinya, manfaat penggunaan telefon pintar ini boleh membawa keburukan jika pelajar menyalahgunakan kemudahan ini. Capaian maklumat yang terlalu meluas tanpa pengawasan dan tapisan menyebabkan pelajar terdedah kepada pelbagai bahan dan maklumat yang tidak baik. Tamsilnya, terdapat banyak bahan berunsur budaya kuning, lucah dan boleh membobrokkan akhlak dipaparkan di laman sosial serta laman sesawang yang boleh diakses secara percuma. Kesannya, hal ini menyebabkan kerosakan akhlak dan peningkatan masalah sosial dalam kalangan pelajar.

       Akhir sekali, keburukan lain penggunaan telefon pintar kepada pelajar ialah pelajar akan mengalami komplikasi kesihatan yang pelbagai. Perkara ini berlaku apabila pelajar menggunakan telefon pintar dalam suatu tempoh yang terlalu lama secara kerap yang akan menyebabkan pelajar terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. Terlalu lama terdedah kepada cahaya terang daripada skrin telefon pintar akan menyebabkan keradangan mata dan menyebabkan sakit kepala, selain mendatangkan sakit belakang dan keletihan kerana tidak cukup tidur. Dengan ini, penyalahgunaan seperti ini pasti akan memudaratkan pelajar, khusunya dari sudut kesihatan mereka.

        Kesimpulannya, pelajar haruslah memanfaatkan kemudahan telefon pintar sebaik mungkin dan mengelakkan penyalahgunaan kemudahan tersebut. Hal ini amat penting untuk diambil kira agar pelajar tidak terdedah kepada pelbagai permasalahan yang boleh merosakkan diri mereka. 
                   



 

0 comments:

Post a Comment