Blogroll

Tuesday, October 27, 2020

BM PT3 KARANGAN CONTOH 7 : CARA-CARA MEMANFAATKAN APLIKASI MEDIA SOSIAL

BY Eppy Sensei IN No comments

 


SOALAN : Anda telah menerima sepucuk surat daripada rakan anda di Sabah. Dalam surat tersebut, rakan anda bertanyakan cara-cara anda memanfaatkan aplikasi-aplikasi media sosial sebagai seorang pelajar. Balas surat rakan anda itu selengkapnya.

CONTOH JAWAPAN


No.8, Jalan Betawi 18,
Taman Betawi Hilir,
87000 Johor Bahru, 

Johor. 

15 Ogos 2020 

        Menemui sahabatku, Kartini yang berada jauh di Sabah. Semoga saudari dan keluarga sentiasa sihat dan dijaga Tuhan selalu. Saya dan keluarga saya usahlah dirisaukan, kami sihat walafiat semuanya. Surat saudari telah selamat saya terima pada minggu lepas. Saya memohon maaf kerana terlambat membalas surat tersebut. Saya agak sibuk menyiapkan pelbagai projek sekolah. Saya harap saudari dapat memafkan saya.

saudari.

        Dalam surat saudari yang lalu, saudari ada bertanya tentang cara-cara saya memanfaatkan aplikasi-aplikasi mesia sosial sebagai seorang pelajar. Wah, nampaknya pasti saudari bimbang akan kesan penggunaan media sosial secara tidak terkawal ke atas saya seperti yang saudari perkatakan! Jangan risau, saya memanfaatkan semua platform media sosial yang saya ada dengan pelbagai cara.

    Pertama, saya menggunakan platform komunikasi seperti Whatsapp dan Telegram untuk kekal berhubung dengan rakan-rakan, guru dan ahli keluarga saya. Dalam hal ini, penggunaan whatsapp dan Telegram membolehkan saya berkomunikasi secara pantas dan mendapat balasan dengan segera. Sebagi contoh, saya dan rakan-rakan melakukan perbincangan berkumpulan tentang tugasan sekolah dan berkongsi bahan bacaan melalui platform-platform ini tanpa perlu bersemuka. Impaknya, saya dapat menjimatkan masa saya dan boleh menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat.

     Selain itu, saya juga memanfaatkan aplikasi Instagram dan Tumblr sebagai wahana untuk melakukan perkongsian bergambar dan hasil fotografi saya. Saya yakin saudari pun tahu tentang hobi saya yang suka mengambil gambar, bukan? Oleh itu, saya telah mengongsikan banyak gambar yang saya ambil menggunakan platform ini supaya orang lain dapat melihatnya. Tambahan pula, kata-kata pujian dan galakan daripada rakan-rakan menyebabkan semangat saya menjadi lebih berkobar-kobar untuk meneruskan hobi mengambil gambar. 

    Di samping itu, saya turut membuat perkongsian video kreatif  menerusi aplikasi Youtube dan Tik Tok. Kebanyakan remaja zaman sekarang menggunakan aplikasi Youtube dan Tik Tok untuk membuat dan mengakses video yang tidak berfaedah. Saya sedar akan realiti tersebut dan sentiasa beringat supaya saya tidak menyalahgunakan aplikasi tersebut. Biasanya, saya akan membuat perkongsian video tentang hobi saya dan aktiviti saya pada masa lapang, termasuklah mengakses laman Youtube untuk belajar tentang banyak perkara baharu seperti tips pelajaran dan video tunjuk cara. Jelaslah, kita akan mendapat banyak faedah jika kita memanfaatkan aplikasi-aplikasi tersebut.

    Akhir sekali, media sosial seperti Facebook dan Twitter saya manfaatkan untuk berkenalan dengan ramai kawan baharu dari serata tempat, salah seorangnya ialah saudari! Saya amat gembira apabila dapat berkenalan dengan saudari di Facebook kerana kita kerap membahas dan membincangkan isu-isu sohor kini di sana. Tamsilnya, kita dapat mengetahui status terkini kes jangkitan virus COVID-19 di seluruh negara kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga memanfaatkan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarkan maklumat tersebut. Pendek kata, saya memanfaatkan media sosial dengan cara yang baik, termasuklah saudari juga. 

    Kesimpulannya, kita akan mendapat manfaat dan faedah daripada pelbagai aplikasi media sosial jika kita menggunakannya dengan cara yang baik. Sebagai remaja, kita haruslah tidak menyalahgunakan segala kemudahan teknologi yang kita nikmati supaya kebaikan yang sepatutnya kita peroleh tidak bertukar menjadi keburukan. 

Saudari,

    Sampai di sini sahaja warkah daripada saya. Saya berharap penjelasan saya dalam surat ini berjaya menjawab persoalan saudari. Kita berjumpa lagi di dalam surat yang seterusnya. Oh, ya! Sampaikan salam saya kepada keluarga saudari. Sekian, terima kasih.


Yang Benar, 

         Malinda Emil 



0 comments:

Post a Comment