Blogroll

Thursday, October 20, 2022

KARANGAN CONTOH 15 : LANGKAH-LANGKAH MENGEKALKAN KEHARMONIAN DALAM KEJIRANAN

BY Eppy Sensei IN No comments

 

HIDUP BERJIRAN
[BT M/S 31, T1]

            Jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita selain keluarga kita sendiri. Jiran penting kepada kita kerana merekalah tempat paling mudah untuk kita mengadu nasib sekiranya dalam kesusahan. Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan bagi mengekalkan keharmonian dalam hidup berjiran. [BT M/S 28, T1]

             Antara cara yang boleh dilakukan bagi mengekalkan keharmonian dalam hidup berjiran ialah kita boleh bertukar juadah dan hidangan lazat setiap hari atau pada musim perayaan. Aktiviti ini menunjukkan telah wujudnya kesefahaman dan kepercayaan yang tinggi antara jiran. Dengan bertukar juadah, kita dapat mengetahui makanan tradisi keluarga lain, apatah lagi jika kita datang dari latar belakang yang berbeza. Kesannya, kita akan dapat lebih mengenali dan memahami budaya dan cara hidup orang di sekeliling kita.

            Selain itu, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong patut dijadikan sebagai acara tahunan yang melibatkan penyertaan semua ahli kejiranan. Hal ini dikatakan demikian kerana kehidupan masyarakat moden yang sentiasa sibuk menyebabkan kita jarang dapat meluangkan masa untuk bertegur sapa dengan jiran kita. Oleh itu, penganjuran aktiviti gotong-royong membuka peluang kepada kita untuk lebih mengenali jirang tetangga dan bermesra dengan mereka. Impaknya, silaturahim antara kita akan dapat dieratkan.

          Di samping itu, kita perlulah menziarahi jiran sama ada pada musim perayaan atau keraian, terutamanya apabila ada dalam kalangan keluarga jiran kita jatuh sakit. Perbuatan menziarahi jiran menunjukkan nilai kekeluargaan dan empati yang tinggi dalam diri kita. Kita boleh membawa buah tangan yang sesuai dan memberi kata-kata semangat kepada mereka yang jatuh sakit. Kedatangan kita mungkin dapat menceriakan keluarga jiran kita dan menghiburkan hati mereka yang berduka.

        Akhir sekali, untuk mengekalkan keharmonian juga, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan pada saat diperlukan. Hal ini penting kerana kitalah orang yang paling hampir dan boleh bertindak balas dengan cepat untuk membantu jiran yang dalam kesusahan. Sebagai contoh, kita boleh membantu menghantar ahli keluarga jiran yang sakit ke hospital, menjaga rumah semasa mereka bercuti dan memaklumkan kepada mereka jika terdapat perkara yang mencurigakan berlaku di kawasan rumah mereka. Tuntasnya, keharmonian dan keselamatan antara keluarga akan terjamin jika kita sebagai jiran bertindak untuk saling menjaga.

              Kesimpulannya, kita hendaklah mengamalkan semangat kejiranan dalam kehidupan kita. Jika kita terus mengamaikan nilai yang baik dan bersikap saling menghormati, keharmonian akan dapat dinikmati dan dirasai. Perkara ini patut dikekalkan dan diamalkan supaya kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni, saling memahami dan saling mempercayai dalam komuniti kita.

            

0 comments:

Post a Comment