Gaya hidup yang sihat menjadi teras kepada kehidupan yang berkualiti. Namun, banyak kajian dan pemerhatian dijalankan telah membuktikan bahawa masyarakat semakin mengabaikan perkara ini.
Masyarakat kini sering dikaitkan dengan kesibukan bekerja. Dalam sebuah keluarga, masa bersama menjadi semakin suntuk dan ruang untuk berinteraksi semakin sukar. Hal ini memaksa sebahagian besar golongan ibu bapa melepaskan tanggungjawab untuk menentukan pilihan dan membuat keputusan kecil ke tangan anak-anak sendiri. Ibu bapa juga dilihat cenderung untuk memilih makanan segera yang lebih ringkas dan pantas dihidangkan untuk keluarga berbanding memasaknya sendiri. Perkara ini berterusan walaupun mereka sedar akan kesan dan keburukan makanan segera kepada kesihatan anak-anak mereka.
Selain itu, kebanjiran pelbagai rantaian jenama makanan segera yang menarik telah mempengaruhi pemilihan makanan oleh remaja. Paparan iklan yang menarik dan berwarna-warni jelas telah berjaya menjadikan makanan segera antara produk makanan pilihan masyarakat moden. Perkara ini turut disokong oleh kadar penggunaan media sosial yang tinggi dalam kalangan remaja sehingga mereka cenderung untuk memilih sesuatu mengikut trend sohor kini supaya tidak ketinggalan daripada orang lain.
Dari sudut lain, teknologi berfungsi untuk memudahkan dan meningkatkan kualiti hidup manusia. Tidak dinafikan, remaja telah memanfaatkan pelbagai ciptaan teknologi dengan pelbagai tujuan. Namun begitu, kebergantungan remaja kepada alatan teknologi seperti telefon pintar telah memberi implikasi negatif kepada gaya hidup mereka. Remaja mula memilih untuk berinteraksi dan beraktiviti secara maya tanpa perlu bergerak atau keluar dari rumah. Perkara ini menyebabkan pelbagai kesan buruk, baik dari sudut kesihatan fizikal, malah kesihatan mental mereka juga.
Kesimpulannya, remaja haruslah mengambil berat akan kesihatan diri sendiri. Amalan gaya hidup sihat perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana tanggungjawab menjaga diri bermula dengan diri sendiri.
0 comments:
Post a Comment