Blogroll

Saturday, May 15, 2021

KARANGAN CONTOH 8 : LANGKAH-LANGKAH PENJAGAAN KESIHATAN MASYARAKAT MODEN

BY Eppy Sensei IN No comments


Penjagaan kesihatan merupakan perkara penting yang sering diabaikan oleh masyarakat moden yang terlalu sibuk bekerja. Huraikan langkah-langkah penjagaan kesihatan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita.


       Masyarakat moden menghabiskan sebahagian besar masa mereka di tempat kerja dan sentiasa sibuk dalam kehidupan seharian. Hal ini menyebabkan mereka cenderung untuk mengabaikan penjagaan kesihatan diri sendiri sehingga sering jatuh sakit. Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan kita.

Antaranya, kita perlulah mengamalkan gaya hidup yang sihat setiap hari. Gaya hidup yang sihat boleh dilakukan dalam pelbagai cara dan pada bila-bila masa sahaja. Sebagai contoh, kita boleh memilih untuk berjalan kaki dan menaiki tangga berbanding menaiki lif. Perkara ini dapat memberi impak positif kepada tahap kesihatan kita dan minda kita kerana badan cergas, otak cerdas.

Selain itu, kita perlu mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti pada setiap hari. Hal ini dikatakan demikian kerana tubuh yang telah penat bekerja seharian memerlukan rehat bagi melestarikan kesihatan kita secara berpanjangan. Tamsilnya, tidur selama tujuh hingga lapan jam sehari dapat memastikan tubuh kita benar-benar mandapatkan rehat yang diperlukan. Hasilnya, kita akan berasa lebih sihat dan segar pada setiap hari untuk memulakan pekerjaan.

Di samping itu, kita boleh mengamalkan pemakanan yang seimbang dan mengelak makanan-makanan segera dan tidak berkhasiat. Hal ini penting kerana tubuh kita mencerna dan menyerap nutrien daripada bahan makanan yang kita makan. Oleh itu, memakan makanan yang berkhasiat seperti yang disarankan dalam piramid makanan membantu tubuh kita untuk kekal lebih sihat. Tuntasnya, kita adalah apa yang kita makan. Jika mahu kekal sihat, kita mestilah mengamalkan pemakanan yang sihat juga.

Akhir sekali, kita boleh berjumpa dengan doktor secara berkala untuk mendapatkan rawatan dan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh. Apabila berjumpa dengan doktor, kita dapat mengetahui tahap kesihatan kita dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar. Sebagai contoh, doktor akan memberi cadangan sekiranya kita memerlukan sebarang suplimen tambahan dan pengambilan ubat berkaitan. Kesannya, kita akan sentiasa peka akan tahap kesihatan kita bagi mengelakkan kita daripada jatuh sakit, bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. 

Kesimpulannya, kita hendaklah menjaga kesihatan kita tidak kira sesibuk manapun kita bekerja seharian. Setiap orang haruslah mengetahui cara-cara penjagaan kesihatan yang sesuai dengan mereka supaya kita dapat mencapai kualiti hidup yang kita inginkan.


0 comments:

Post a Comment