Blogroll

Saturday, May 15, 2021

KARANGAN CONTOH 9 : KESAN-KESAN PENGABAIAN KUALITI KESIHATAN KEPADA PELAJAR

BY Eppy Sensei IN 2 comments


 

Sikap hedonistik dalam kalangan pelajar menyebabkan mereka sering meluangkan masa untuk berhibur dan mencari keseronokan hingga mengabaikan kesihatan. Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan jika seseorang pelajar mengabaikan kualiti kesihatan mereka?


    Sikap hedonistik boleh didefinisikan sebagai sikap seseorang yang suka mementingkan keseronokan dalam hidup. Sikap ini boleh mendatangkan pelbagai keburukan kepada kita andai tidak diimbangi, antaranya pengabaian kepada kualiti kesihatan diri. Terdapat beberapa kesan kepada diri kita sebagai pelajar jika kita mengabaikan kualiti kesihatan diri.

    Antara kesannya ialah kita akan keletihan dan mudah untuk jatuh sakit berbanding orang lain. Pada masa kini, pelajar mendapatkan keseronokan dan hiburan melalui pelbagai gajet elektronik, terutamanya telefon pintar. Aplikasi-aplikasi seperti permainan secara atas talian menjadi pilihan utama yang mempengaruhi pelajar untuk menggunakan sebahagian besar daripada masa mereka bagi mencari keseronokan. Akhirnya, masa rehat akan semakin berkurang dan pelajar akan sentiasa keletihan serta tidak bermaya. 

    Selain itu, pelajar akan tidak cukup tidur sekiranya leka melayan keseronokan bermain telefon pintar sepanjang malam. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar memerlukan tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya lapan hingga sembilan jam sehari untuk mencapai kualiti tidur dan rehat yang terbaik. Tidur yang tidak cukup memberi pelbagai kesan sampingan seperti gangguan emosi, kelemahan sistem imun dan sebagainya. Oleh itu, pelajar akan mendapat kesan buruk yang berganda sekiranya mengabaikan kualiti tidur dan kesihatan mereka. 

    Di samping itu, tidak dapat memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas juga merupakan kesan lain kepada pengabaian kualiti kesihatan diri oleh pelajar. Bayangkan, bagaimanakah kita dapat memberi perhatian ketika belajar di dalam kelas sekiranya kita sentiasa mengantuk dan rasa tidak sihat? Sudah tentulah keadaan ini akan memberi kesan buruk seperti kita akan tertinggal dalam pelajaran dan tidak dapat menguasai isi pembelajaran. Maka, kita perlulah sentiasa menjaga kesihatan diri kita supaya terus maju dalam pelajaran.

    Akhir sekali, jika pelajar mengabaikan kualiti kesihatan diri, ibu bapa terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkan rawatan. Hal ini disebabkan oleh kos perubatan adalah sangat mahal dan semakin meningkat saban tahun. Perkara ini pasti merugikan kerana wang tersebut boleh dibelanjakan untuk kegunaan masa hadapan dan semasa kecemasan. Jelaslah, kesan buruk seperti pembaziran wang boleh berlaku jika pelajar mengabaikan kesihatan diri. 

    Tuntasnya, setiap pelajar perlulah mengutamakan kualiti kesihatan diri pada setiap masa. Kita tidak patut mengamalkan cara hidup bak peribahasa “air didih menganak sungai” supaya kita tidak mendapat kesan buruknya. 


air didih menganak sungai : Hiburan yang amat mewah


2 comments: