![]() |
TEMA 1, Buku Teks BM T1 m/s 10 |
Tahukah anda, penduduk di negara ini membuang lebih daripada 33 000 tan metrik sampah setiap hari? Daripada jumlah tersebut, sebanyak 77 000 tan sampah akan berakhir di sungai pada setiap tahun. Hal ini sungguh membimbangkan memandangkan sungai merupakan nadi kehidupan yang penting kepada manusia, terutamanya kepada habitat hidupan marin. Oleh itu, penyelesaian yang berimpak haruslah digariskan dan dilaksanakan secepat mungkin agar perkara ini tidak berterusan.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan awal perlu disuburkan dalam diri anak-anak oleh ibu bapa sejak mereka kecil lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak selain menjadi suri teladan yang boleh dijadikan pedoman. Ibu bapa boleh mendidik anak-anak dengan menunjukkan tatacara membuang sampah dengan betul dan membawa mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti membersihkan sungai. Kesannya, anak-anak akan sedar tentang kepentingan memelihara sungai daripada longgokan sampah sarap.
Sebagai cetusan idea yang kedua, pihak sekolah haruslah mendedahkan murid-murid tentang punca-punca masalah pencemaran sungai yang semakin banyak berlaku. Hal ini akan dapat memupuk kesedaran tentang kesan buruk pembuangan sampah ke sungai dalam diri murid-murid. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti bertemakan Cintai Sungai Kita dengan menjemput pegawai Jabatan Alam Sekitar untuk memberikan ceramah kesedaran. Impaknya, kesedaran moral dalam kalangan murid dapat ditingkatkan supaya mereka tidak membuang sampah ke dalam sungai.
Akhirulkalam, pihak berkuasa tempatan mestilah menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi membendung masalah ini daripada berlarutan. Tidak dapat dinafikan, masalah pembuangan sampah ke dalam sungai secara berleluasa berkait rapat dengan kelemahan pihak berkaitan melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Pihak berwenang sepatutnya melakukan pemantauan berkala di kawasan sungai yang menjadi tempat pembuangan sampah walaupun papan tanda amaran ada dinaikkan. Implikasinya, oknum yang tidak bertanggungjawab akan berasa takut untuk membuang sampah ke sungai.
Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak haruslah bergerak sederap selangkah dalam merangka dan melaksanakan solusi yang berkesan sebagai penyelesaian masalah ini. sikap acuh tidak acuh dan saling menunding jari haruslah dijauhi kerana hal tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah pembuangan sampah ke dalam sungai. Maka, kerjasama yang erat menjadi jawapan yang dicari agar masalah ini tidak dibiarkan berlarutan tanpa titik penyelesaian.
0 comments:
Post a Comment