Mungkin agak lewat saya menulis tentang ini. Semasa mendapat tahu saya terpilih untuk menyertai program ini, saya terus panik. apabila memikirkan saya perlu berjumpa dan "bersosial" bersama dengan 99 orang yang tidak saya kenali di sana, saya menjadi semakin berat hati. Saya meminta pandangan daripada beberapa orang rakan sekerja. Rata-rata mereka menggalakkan saya untuk mengambil bahagian dan menerima jemputan tersebut. Begitu juga dengan barisan pentadbir. Walaupun sedikit gusar, saya membalas e-mel Encik Ahmad Baihaqi dan mengesahkan penyertaan saya.
Jujur, sudah beberapa tahun saya terperap di dalam negeri Johor dan tidak ke mana-mana. Apabila saya tiba di bandar Kuala Lumpur, saya rasa seperti rusa masuk kampung. Semuanya menjadi sangat asing kerana terlalu banyak perubahan dan pembangunan kawasan sekitarnya. Saya amat berterima kasih atas bantuan sahabat lama saya, Tommy. Tanpa bantuannya, saya tak mungkin dapat sampai ke Hotel Corus, Jalan Ampang ini dengan mudah. Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu akan diadakan di sini. Hotel ini sungguh unik. Selain terletak sangat hampir dengan menara KLCC, hotel ini juga sangat ikonik kerana menyediakan buah durian musang king sebagai hidangan minum petang! Menurut pengurus hotel, hotel Corus merupakan satu-satunya hotel di Kuala Lumpur yang membenarkan tetamu memakan durian di cafe hotel.
Ketika sampai, saya terus mendaftarkan diri untuk mendapatkan pas, bahan kursus dan sebagainya. Saya rasa sangat gemuruh melihat rakan-rakan guru yang belum saya kenali. Saya cuba memberanikan diri untuk bertegur sapa dengan beberapa orang guru yang secara kebetulan turut datang dari Johor. ada yang dari Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar dan sebagainya. Saya berasa lega kerana sudah mendapat kenalan. Saat itu, saya berazam untuk mencabar diri saya supaya berpartisipasi dengan lebih aktif, Semakin lama, dewan semakin penuh. Akhirnya, kesemua 100 orang guru terbaik di Malaysia yang disenarai pendek bagi kempen PAK-21 dalam pdpc telah memenuhi tempat duduk masing-masing. Aktiviti bermula dengan sesi ice breaking yang menarik. Dan yang paling lucu, pengerusi majlis sepanjang program ini ialah Cik Amira, iaitu anak kepada puan pengetua! Hebatkan?
Amira : emm... cikgu, cikgu ni.... cikgu kat sekolah mak saya eh...? Muka macam kenal.
Kami ketawakan sahaja perjumpaan tanpa sengaja kami di situ.
Momen yang paling berharga bagi saya adalah ketika semua ahli kumpulan melakukan sesi perkongsian bertajuk "Why i'm here?" setiap ahli kumpulan Bruno Mars ( Jaffri yang bagi nama kumpulan secara rawak) berkongsi cerita tentang apa yang telah mereka lakukan yang menyebabkan kami dapat berkumpul di dalam program ini. ketika mendengar perkongsian setiap orang, saya rasa sangat kagum dan bangga dengan semangat dan kecintaan mereka terhadap dunia pendidikan, terutamanya semangat mereka sebagai seorang guru. Padahal saya masih terkial-kial melayan motivasi yang kian kurang momentumnya, mungkin kehadiran saya ke sini sebenarnya sudah diatur oleh Allah. Saya seperti mendapat banyak aura positif dan semangat yang baharu. Terlalu banyak perkongsian ilmu dan kutipan pengetahuan yang telah dapat buat selama saya berada di sini.
Pada malam terakhir, YB Maszlee telah datang sendiri ke majlis penutupan. Beliau menyampaikan banyak hasrat dan aspirasinya sebagai menteri pendidikan. Malam itu, mendengar sendiri YB Maszlee meluahkan hasratnya terhadap dunia pendidikan dan kepercayaan beliau terhadap barisan pendidik di Malaysia sedikit sebanyak telah mengubah perspektif dan pandangan saya terhadap beliau. Bagi saya, semua harapan dan aspirasi yang dinyatakan oleh beliau perlu disokong, bukan sahaja oleh guru, malah selurih masyarakat khususnya ibu bapa.
0 comments:
Post a Comment