Blogroll

Wednesday, August 28, 2024

PERSEDIAAN SEBELUM MENEMPUH ALAM PEKERJAAN BAGI REMAJA DAN GRADUAN

BY Eppy Sensei IN , , No comments

 

Isi-isi penting 

**kelayakan akademik dalam pekerjaan 
**kemahiran komunikasi 
**ketahanan fizikal dan mental 
**mengetahui prospek dan risiko kerjaya 
**menguasai kemahiran penyelesaian masalah 
**bersikap toleransi dan rasional

    Pendahuluan Alam pekerjaan merupakan suatu fasa dalam kehidupan yang semua manusia akan tempuh demi mencari pendapatan. Pendapatan digunakan untuk menyara kehidupan diri, keluarga dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara dan juga agama. Berbeza dengan sedekad yang lalu, pekerjaan yang stabil semakin sukar untuk diperoleh kerana berlaku kadar persaingan yang amat banyak. Pelbagai faktor yang mendorong perkara ini berlaku sehinggakan ramai yang menganggur dan memilih untuk menceburi bidang lain seperti usahawan dan sebagainya. Jadi, para pelajar terutamanya mahasiswa-mahasiswi perlu bersedia dalam segala aspek sebelum menempuh alam pekerjaan.

    Langkah pertama adalah dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dengan mengambil kursus yang berkaitan dengan pekerjaan yang ingin diceburi nanti. Perkembangan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tidak kira awam atau swasta telah menyumbang kepada kelahiran graduan yang mampu bersaing dan bersedia untuk bekerja selepas tamat pengajian. Memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bidang yang diceburi akan memberi kelebihan kepada para pelajar sebelum mempraktikkan secara amali teori-teori atau latihan yang dilakukan semasa dalam pengajian. IPT juga akan mengadakan latihan industri di mana pelajar akan bekerja di dalam industri berkaitan sebagai langkah persediaan sebelum tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan. Natijahnya pelajar perlu mencapai keputusan yang cemerlang jika ingin bersaing dalam mencari pekerjaan yang stabil dan menjadi impian.

    Seterusnya, golongan yang ingin berkecimpung dalam alam pekerjaan perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi dan baik. Kemahiran komunikasi adalah seperti berhemah dalam berkata-kata, mampu menganalisis sesuatu keadaan dan cekap dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Kemahiran ini tidak diperoleh melalui subjek di IPT tetapi ia perlu dilatih dalam diri sendiri kerana ia bergantung kepada sikap dan tindakan yang selalu diambil oleh seseorang individu dalam suatu situasi. Maka, syarikat dan jabatan pekerjaan mencari seseorang yang mahir dalam komunikasi kerana pekerjaan melibatkan sebuah organisasi yang terdiri daripada pelbagai jenis umur dan kerenah. Perwatakan yang menarik dan mampu bergaul dengan baik sesama rakan sekerja menjadi suatu ciri penting dalam mendapatkan pekerjaan.

    Selain itu, para pelajar yang ingin masuk ke alam pekerjaan hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental. Faktor fizikal selalunya bergantung dengan bidang pekerjaan yang dipilih. Sebagai contoh  juruukur dan jurutera yang memerlukan pekerja ke tapak pembinaan yang panas dibawah terik matahari untuk melakukan tugas atau pemerhatian. Dari segi mental pula, persediaan untuk berurusan dengan rakan sekerja, majikan ataupun pelanggan yang memerlukan kita untuk brsabar dan bersikap waja dalam menghadapi segala situasi demi menjaga reputasi kita agar tidak memalukan diri sendiri dan majikan kita. Seperti peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa yang bermaksud sesuatau pekerjaan yang sukar atau rumit untuk disempurnakan akan menjadi lebih mudah jika sering melakukannya.

    Sebelum memohon suatu pekerjaan, adalah bijak untuk kita mengetahui prospek dan risiko yang diambil sekiranya kita bekerja dalam bidang tersebut. Banyak pekerjaan sebenarnya mempunyai prospek yang baik untuk masa hadapan jika kita kekal cemerlang dalam prestasi kerjaya kita. Namun begitu, terdapat juga pekerjaan yang memerlukan usaha yang lebih untuk kekal konsisten dalam menperoleh pendapatan. Sebagai contoh, usahawan yang perlu sentiasa berfikiran kritis dalam memastikan produk yang dihasilkan mendapat sambutan dan mencapai sasaran supaya mendapat keuntungan maksima dan boleh mengembangkan syarikat ke tahap yang lebih maju. Begitu juga dengan pengkarya seni yang harus konsisten dalam menghasilkan seni kreatif demi mencari hasil yang mampu menanggung kehidupan mereka kelak. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

    Kesimpulannya, pelbagai langkah yang boleh diambil sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan. Persediaan yang mapan haruslah dimulakan dengan awal agar tidak mengalami kejutan budaya yang akan memakan diri di masa hadapan. Pada zaman yang penuh persaingan ini dek kerana perkembangan jumlah manusia kita perlu berusaha dengan lebih baik dan bijak supaya mampu mencabar ekonomi negara yang tidak stabil dan merencat pertumbuhan ekonomi yang dirancang. Kita hendaklah bersikap optimis dalam mencari rezeki agar ekonomi negara terus bergerak kehadapan dan sekaligus menjamin kenaikan taraf hidup yang lenih baik berbanding sebelumnya. Ilmu, kemahiran insaniah dan sikap positif dimiliki menjadikan seseorang itu modal insan yang berharga, ibarat mutiara yang sentiasa diburu dan bernilai tinggi biarpun berada di mana-mana juga.


0 comments:

Post a Comment